Selangorkini
SELANGOR

Datuk Bandar jamin isu parkir MBPJ akan diselesaikan

gambar hiasan
gambar hiasan

PETALING JAYA, 28 OGOS : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memberi jaminan untuk menyelesaikan isu parkir kereta di Kompleks C yang didakwa tidak diselenggara dengan baik dan kurang memuaskan bagi kegunaan orang ramai.

Datuk Bandar MBPJ, Datik Paduka Alinah Ahmad berkata, MBPJ akan meneliti isu berkenaan dari semasa ke semasa sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Saya akan tengok perkara ini secara holistik. Kita tidak boleh selesai sekaligus aduan yang dibuat, tetapi kita akan pantau dulu dan ambil tindakan secara keseluruhan,” katanya ketika mengulas kenyataan Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran yang meminta MBPJ menaiktaraf parkir Kompleks C, di sini.

Terdahulu, Rajiv dalam lawatannya ke kompleks tersebut menggesa pihak MBPJ supaya segera melakukan kerja-kerja pembaikan di tempat letak kereta itu supaya boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang ramai.

Beliau turut meminta supaya MBPJ merobohkan bangunan kolej lama yang sudah dikosongkan di tingkat dua bangunan itu supaya boleh menempatkan kira-kira 400 buah kereta dalam satu-satu masa.

Selain itu, Rajiv turut meminta MBPJ supaya memasang lampu limpah di setiap tingkat bangunan, menempatkan pengawal keselamatan serta memasang kamera litar tertutup (CCTV).

“Kompleks parkir ini sangat strategik kedudukannya kerana dilengkapi laluan pejalan kaki, tetapi malangnya ia tidak diselenggara dengan baik dan kurang memuaskan orang ramai,” katanya.

Sebagai langkah awal, pihak MBPJ telah mula memasang lampu limpah di tingkat satu dan dua kompleks parkir tersebut selain melakukan kerja-kerja pembersihan.


Pengarang :