NASIONAL SELANGOR

Forum perlaksanaan manifesto, kerajaan negeri kembali pada rakyat

MB PC Exco September 2012

SHAH ALAM, 20 OGOS : Kerajaan Selangor akan menganjurkan forum awam bagi mendapatkan pandangan rakyat untuk melaksanakan Manifesto Pakatan Rakyat yang dilancarkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata forum tersebut akan diadakan diperingkat pihak berkuasa tempatan dan menjangkakan ia akan berlangsung pertengahan September depan.

“Forum ini melibatkan wakil rakyat yang mana akan mengambil bahagian dalam perbincangan bersama orang awam. Orang awam akan diberi peluang menyuarakan pandangan bagi pelaksanaan manifesto ini,” beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mensyuarat Exco di bangunan SUK di sini hari ini.

Urusetia forum ini akan diketuai oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar.

Abdul Khalid menambah, segala maklum balas rakyat dalam forum itu akan dikumpulkan oleh setiap jawatankuasa tetap untuk digunakan dalam penyediaan Belanjawan 2014.

“Kerajaan Selangor yakin dan percaya bahawa pandangan rakyat amat penting dalam memastikan semua polisi dan perancangan yang digariskan dalam manifesto itu menepati golongan sasaran,”ujarnya.

Jelasnya, forum tersebut juga akan dijadikan platform bagi Kerajaan Negeri untuk mengenalpasti kehendak rakyat untuk menggunakan hasil negeri bagi merapatkan jurang pendapatan dan mengurangkan kadar kemiskinan menerusi agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

“Pakatan Rakyat memandang serius tanggungjawab untuk menguruskan aset negeri dengan baik demi kepentingan rakyat,” jelasnya.

– HM


Pengarang :