NASIONAL SELANGOR

Harga rumah tinggi, bukan berpunca daripada kos pembinaan

rumah mampu milik sutera damansara 01

PANDAN 28 OGOS : Peningkatan harga rumah di kawasan Lembah Klang khususnya bukan berpunca semata-mata daripada kos pembinaan, tetapi spekulasi yang dilakukan oleh pembeli dan penjual sesebuah rumah.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad berkata, harga rumah yang tinggi antara lain didorong oleh sikap mahu mengaut keuntungan yang tinggi.

“Peningkatan harga rumah sekarang ini kerana spekulasi. Spekulasi bermakna orang beli dan orang jual, itu satu daripada punca. Saya lihat bahawa isu harga rumah bukan kerana kos pembinaan semata-mata,” katanya.

Sebagai contoh, Iskandar berkata, kos pembinaan bagi rumah teres dua tingkat berkeluasan 1,500 hingga 1,600 kaki persegi memerlukan kos sebanyak RM100 hingga RM150 bagi satu kaki persegi.

Tetapi kos jualan sebuah rumah boleh menjangkau sehingga RM500,000, bersamaan RM300 setiap satu kaki persegi.

“Ini bermakna hampir RM200 bagi setiap satu kaki persegi bukan kerana kos pembinaan. Jadi saya tidak bersetuju apabila pemaju beralasan kos pembinaan yang tinggi kerana harga barang-barang pembinaan yang mahal,” jelas Iskandar.

Beliau berpendapat antara langkah yang boleh diambil untuk menangani spekulasi adalah dengan menurunkan kadar pinjaman kewangan bagi rumah kedua sehingga 50 peratus.

Antara langkah lain adalah menaikkan cukai RPGT sehingga 30 peratus supaya rumah bukan dibeli untuk dijual semata-mata.

“Tetapi dari segi harga rumah, kita tak boleh nak letakkan harga maksimum tetapi perlu ada peratusan yang boleh dibeli oleh rakyat biasa,” katanya lagi.


Pengarang :