Selangorkini
NASIONAL

Hutang graduan PTPTN dihambat CCRIS, kroni Umno-BN lepas

ptptn student

SHAH ALAM 20 OGOS : Kerajaan Umno-BN gagal mempertahankan hak asasi rakyat apabila bertindak menyenaraikan peminjam PTPTN ingkar di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) tetapi membiarkan rasuah, ketirisan dan hutang kroni makin berkembang.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata pengumuman Menteri Pendidikan II Idris Jusoh itu sebagai satu lagi kegagalan kerajaan Umno-BN dalam melaksanakan dasar pendidikan negara yang pro-rakyat.

Katanya, ketika mahasiswa yang berpendapatan rendah dikejar dan dihambat bagi mengutip hutang ini, kerajaan Umno-BN tidak mengambil apa-apa tindakan tegas mengatasi masalah aliran wang haram ketiga tertinggi di dunia antara 2001-2010 lebih dari RM800 bilion.

Sebelum ini, pemimpin Pakatan mendedahkan skandal pinjaman korporat seperti hutang milik Datuk Tajudin Ramli berjumlah RM584 juta yang dilupuskan dan skandal syarikat ternakan lembu National Feedlot Corporation (NFC) yang dikaitkan dengan keluarga Datuk Shahrizat Jalil berjumlah RM250 juta tanpa sebarang tindakan tegas oleh kerajaan.

Namun pada masa yang sama hutang pelajar universiti yang hanya puluhan ribu tidak henti-henti dituntut dan dikejar dalam apa jua keadaan termasuk tidak dibenarkan pergi ke keluar negara.

Menurut Nik Nazmi, dasar PTPTN yang disertakan dengan liberalisasi dan pengkorporatan pendidikan tinggi menjadi sebahagian daripada beban yang dihadapi generasi muda di negara ini.

“Selain kadar upah dan gaji yang rendah serta harga rumah dan kereta yang tinggi maka kesannya, mereka berhadapan dengan pelbagai hutang yang berpanjangan,” kata Nik Nazmi dalam kenyataan medianya.

Beliau berkata, menurut Bank Negara, kadar hutang isirumah meningkat sebanyak 12 peratus setiap tahun pada lima tahun kebelakangan ini.

“Kadar muflis juga terus meningkat dari tahun ke tahun, dan antara golongan utama yang menjadi mangsa ialah golongan muda,” kata beliau.

Jelas Nik Nazmi, kebanyakan mahasiswa yang menggunakan kemudahan PTPTN merupakan mereka yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana rendah.

“Sekiranya keluarga mereka mampu, sudah tentu mereka tidak meminjam dana PTPTN,” tegas beliau.

Tambah beliau, pemimpin Pakatan tidak mempertikaikan keperluan peminjam yang mampu dan berpendapatan baik untuk membayar semula hutang PTPTN.

Namun yang dipertikaikan ialah nasib majoriti peminjam yang terpaksa bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi dan berasal daripada keluarga biasa.

“Dasar pemberian diskaun bagi mereka yang menyelesaikan keseluruhan hutang PTPTN secara sekaligus yang dibuat di dalam belanjawan 2013 tidak adil memandangkan yang untung adalah mereka yang mempunyai kedudukan kewangan yang baik.

“Kesannya, pendidikan tidak lagi dapat menjadi pemangkin mobiliti sosial bagi membolehkan rakyat dari keluarga berpendapatan rendah mendapat peluang kehidupan yang lebih baik, sebaliknya melebarkan jurang antara golongan kaya dan miskin di negara kita,” kata beliau.

Nik Nazmi berkata lagi, dasar terbaru ini membuktikan bahawa Umno-BN terus ingin menjadikan pendidikan ini satu komoditi dan keistimewaan untuk mereka yang berkemampuan.

“Penyelesaian sebenar isu ini hanyalah satu iaitu memansuhkan PTPTN dan memberikan pendidikan percuma sebagai pelaburan untuk masa depan anak-anak kita,” kata beliau.


Pengarang :