Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Jambatan ke-3 Klang dalam proses akhir rekabentuk

MB pc tie belang 01

KLANG 27 OGOS : Projek pembinaan Jambatan Ketiga Klang yang merentasi Sungai Klang kini dalam proses terakhir membuat reka bentuk.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pembentangan pelan reka bentuk akan dibentangkan Khamis ini selepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan pihak teknikal dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Jangkaan kita tender akan dibuat selepas bulan Oktober atau November dan selepas itu kita akan mulakan proses pembinaan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Anugerah Prihatin Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Hotel Premiere.

Abdul Khalid ketika ditanya kos pembinaan beliau berkata pihaknya sudah meneliti urusan itu dan akan membuat beberapa perubahan supaya sesuai dengan kawasan dan keadaan bentuk sungai.

“Kita juga akan mengambil kira tentang struktur jalan yang akan disambungkan dengan jambatan itu,” katanya.

Dalam persidangan Dewan Negeri Selangor yang lalu, Abdul Khalid mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri bercadang menggunakan RM300 juta daripada rizab negeri bagi melaksanakan projek itu.

Jambatan sepanjang dua kilometer termasuk jalan penghubung dengan enam korong itu bertujuan untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas lebih 200,000 kenderaan yang menggunakan jambatan sedia ada.

Sementara itu, Khalid berkata pembangunan prasarana di Pelabuhan Klang dijangka menelan kos sebanyak RM1.5 bilion.

“Majlis Perbandaran Klang sedang membuat beberapa perancangan supaya Pelabuhan Klang dapat dimajukan sesuai dengan tahapnya sebagai pelanbuhan yang ke-13 terbesar di dunia,” jelas Khalid.

Antara perancangan yang dipertimbangkan adalah pembinaan jalanraya yang baru bagi melicinkan aliran pengangkutan.


Pengarang :