Selangorkini
NASIONAL

Kes Altantuya: Akhirnya, … semua bebas dari dikenakan Hukuman

gambar hiasan
gambar hiasan

SHAH ALAM 24 OGOS : Keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan kedua-dua tertuduh dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu bukan sahaja menimbulkan persoalan mengenai siapa gerangan pembunuh sebenar wanita itu tetapi turut memberi ruang akan timbulnya persepsi bahawa kes berkemungkinan membabitkan pimpinan tertinggi negara.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, persepsi itu turut disokong dengan fakta-fakta perjalanan kes perbicaraan sejak awal lagi di mana saksi-saksi penting tidak dipanggil, dokumen yang dipadamkan daripada rekod serta terdapat bukti pertukaran SMS antara peguam dengan pemimpin negara.

“Kita menghormati keputusan dibuat mahkamah rayuan tetapi dalam masa kita juga tidak dapat menolak wujudnya persepsi bahawa kes ini melibatkan pemimpin tertinggi sehingga akhirnya tiada siapapun yang disabitkan bersalah setelah tujuh tahun perbicaraan kes ini berjalan, malah satu demi satu orang yang terlibat dibebaskan.

“Ianya seolah-olah sengaja direka dan dibiarkan (perbicaraan) berjalan dan berlanjutan sehingga segala bukti dikeluarkan namun akhirnya semua yang tertuduh dan disebut bebas daripada pertuduhan membunuh,” kata Shamsul yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil.

Beliau dihubungi TVSelangor bagi mengulas keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang membebaskan anggota Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar daripada pertuduhan membunuh Altantuya.

Altantuya yang bekerja sebagai penterjemah dan model sambilan ditembak mati sebelum bahan letupan C-4 dikatakan digunakan untuk meletupkan mayatnya hingga berkecai di Hutan Simpan Puncak Alam di sini pada malam 18 Oktober 2006.

Sebelum ini, bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, yang juga rakan baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008 selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

Walaupun dilihat mempunyai motif membunuh Altantuya yang didakwa sebagai bekas kekasihnya, Abdul Razak beruntung apabila pihak pendakwa tidak pernah memfailkan rayuan terhadap pembebasannya ketika itu.

Menyifatkan hari ini sebagai antara hari yang malang buat Malaysia, Shamsul berkata keputusan membebaskan kedua-dua tertuduh bukan sahaja memberi impak kepada keluarga mangsa tetapi turut memberi tanggapan buruk mata dunia terhadap sistem perundangan, kepolisian dan keadilan di negara ini.

Sementara itu, mengulas mengenai peluang siasatan semula kes ini, beliau berkata tidak yakin ianya akan dapat dijalankan memandangkan siasatan semula memerlukan bukti-bukti baru sedangkan segala bukti yang ada dikemukakan di mahkamah sepanjang perbicaraan berlangsung.

“Ianya bukan sesuatu yang mudah kerana melibatkan banyak perkara untuk membuka siasatan baru, namun kita berharap akan terus ada desakan bagi mencari keadilan dalam kes ini,” tegas Shamsul.

Dalam pada itu, beliau turut mendesak agar kepimpinan tertinggi negara dapat menjelaskan kepada rakyat mengenai keputusan mahkamah pagi tadi kerana terlalu banyak perkara yang masih terungkai tanpa penjelasan yang memuaskan.- mza

 


Pengarang :