Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

KPKT punca pembeli gagal beli rumah projek ‘terbengkalai’

YB Iskandar Seksyen 3 Bandar Baru Bangi 1

SHAH ALAM, 6 OGOS: Kerajaan Selangor kesal kerana pembeli unit rumah sesebuah projek perumahan yang terbengkalai tetapi sudah dipulihkan, gagal memperoleh pinjaman bank berikutan kecuaian Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad, berkata kegagalan  mereka memperoleh kelulusan bank itu berikutan KPKT masih menyenaraikan projek itu sebagai ‘terbengkalai’.

Menyatakan kerajaan negeri banyak menerima aduan mengenai hal itu, beliau berkata, gegagalan bakal pembeli mendapat pinjaman menyebabkan pemaju berdepan masalah untuk menjual baki unit hingga memberi kesan kewangan kepada mereka.

“Ada sebuah projek Rumah Kos Rendah di Subang yang berjaya dipulihkan dan lebih 80 peratus siap. Tetapi disebabkan KPKT masih menyenaraikannya sebagai projek terbengkalai, maka 140 orang pembeli gagal mendapat pinjaman bank,” katanya.

Justeru, Iskandar menggesa KPKT untuk mengeluarkan projek yang dipulihkan dari senarai hitam supaya ia dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan pemaju penyelamat.

Beliau berhasrat mengadakan pertemuan antara kerajaan negeri dan KPKT diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan masalah itu, selain isu perumahan lain.

“Antara isu lain ialah harga rumah yang semakin meningkat, pembinaan Rumah Mampu Milik dan penyelenggaraan pembangunan bestrata.

“Kerajaan negeri sudah dua kali menulis surat kepada menteri berkenaan berhubung permohonan mengadakan pertemuan, namun tiada jawapan sehingga kini,” katanya.

-FZL


Pengarang :