Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan disaran kurangkan bergantung kepada negara luar

charles 2SHAH ALAM 27 OGOS : Kerajaan perlu mengurangkan kebergantungan ekonomi negara kepada negara-negara lain dan menaikkan jumlah perbelanjaan dalam negara bagi mengelakkan krisis matawang yang berlaku pada 1997 daripada berulang.

SHAH ALAM, 27 OGOS – Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata kerajaan perlu mempertingkatkan penggunaan teknologi tinggi dalam industrinya dengan tidak hanya bergantung kepada sumber manusia yang terhad.

“Negara perlu beralih arah dalam pengurusan ekonominya ke arah menggunakan pekerja berkemahiran tinggi dan berteknologi bagi menarik para pelabur asing untuk menanam modal ke negara ini.

“Dengan cara ini juga para peniaga di Malaysia juga tidak perlu berpindah ke luar negara,” kata beliau ketika dihubungi TVSelangor.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu memfokuskan untuk membangunkan sumber tenaga yang boleh diperbaharui.

“Kita hari ini tidak menggunakan kepakaran yang sedia ada tetapi terpaksa membuat tumpuan lain dengan membangunkan loji tenaga nuklear.

“Ini satu cara yang akan membazirkan wang negara,” kata beliau.

Katanya lagi, kerajaan perlu cekap untuk menguruskan perbelanjaan kewangan negara dan berusaha keras untuk menurunkan kadar rasuah.

“Kita perlu meningkatkan taraf ekonomi yang menggunakan tenaga berkemahiran rendah kepada berkemahiran tinggi.

“Kerajaan juga perlu mempertingkatkan mutu pendidikan agar dapat bersaing dengan negara lain yang kini ketinggalan dalam persaingan,” kata beliau.

Sebelum ini, nilai ringgit jatuh melebihi 7 peratus tahun ini, paling rendah berbanding tiga tahun lalu kepada 3.3 setiap dollar dan merupakan rekod terburuk di kalangan negara Asia lain.

Bank Negara juga menyemak semula unjuran pertumbuhan bagi seluruh 2013 ini kepada antara 4.5 dan 5.0 peratus daripada antara 5.0 peratus dan enam peratus sebelum ini.- mza


Pengarang :