Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Lelaki prihatin boleh menghapus keganasan terhadap wanita

download (6)

 

Oleh Rodziah Ismail

(KENYATAAN MEDIA)

Lelaki yang bertanggungjawab dan peka tentang hak wanita yang dianugerahi oleh Tuhan dan undang-undang telah banyak membantu wanita mendapat pembelaan dan keadilan dalam keadaan mereka dicerca, didiskriminasi, didera dan diganasi secara mental, fizikal, emosi dan seksual.

Sejarah tamadun manusia telah membuktikannya. Kes video yang mempamerkan wanita dipukul semahunya oleh suami yang menjadi isu ketika ini yang telah diterbitkan ke media sosial oleh anggota keluarga lelaki mangsa adalah contoh ketara rasa tanggungjawab para lelaki yang peka dan prihatin untuk memastikan wanita-wanita di bawah perlindungan mereka mendapat keadilan dan sama sekali tidak diperlakukan sewenangnya oleh lelaki yang telah kehilangan segala pedoman dan sengaja ingin mencedera dan merosakkan kehidupan wanita, walaupun lelaki itu dituntut sebagai amanah untuk berbuat sebaliknya.

Video yang menjadi viral itu telah menerbitkan reaksi dari pihak berkuasa seperti yang dikehendaki. Pengajaran dalam kehidupan yang dibentuk oleh kepercayaan bahawa insan itu dicipta oleh Allah Yang Maha Esa menjelaskan bahawa walau apapun kesalahan wanita isteri itu, beliau tidak layak diganasi dengan apa cara sekalipun; inikan pula jika langsung tiada apa kesalahan yang diperbuat.

Apakah solusi kepada gejala sosial sedemikian dalam masyarakat yang sedang meningkat dan boleh menjadi kelaziman? Ia bukan soalan yang mudah dijawab, tetapi tidak pula mustahil dijawab dan dilaksanakan sebaik mungkin. Kesungguhan melaksanakannya sebahagian besarnya terletak kepada kuasa yang mampu mengerakkan segala jentera dan anggota yang beramanah untuk melaksanakannya.

Kerajaan persekutuan didesak untuk menghentikan sebarang diskriminasi mengenai penggemblengan maksimum anggota penguatkuasaan undang-undang dalam menangani segala bentuk keganasan terhadap insan khususnya wanita di negeri Selangor. Sementara menunggu keputusan kerajaan persekutuan sedemikian Kerajaan Negeri Selangor telah merancang untuk melaksanakan polis komuniti dan meletakkan alat pengawasan (CCTV) sebagai langkah memelihara keselamatan rakyat di kawasan-kawasan yang releven.

Disamping itu memperhebatkan advokasi (RM500 ribu telah diperuntukkan untuk tujuan tersebut) mengenai Pusat Krisis Sehenti (OSCC) dan mempertingkatkan perkhidmatannya untuk mangsa keganasan terhadap diri mereka dan menambah pusat-pusat perlindungan dengan kerjasama LPHS. Usaha selari advokasi gender (yang melibatkan juga usaha memahami sensitiviti maskuliniti dan kelelakian, masculinity and manhood), perlindungan dan pendakwaan adalah juga menjadi tumpuan menghapuskan segala bentuk keganasan terhadap wanita.  Kerajaan Selangor sedang berusaha memulakan gerakan Lelaki Menentang Keganasan terhadap Wanita (Men Anti-Violence Against Women). Wajarnya isu keganasan terhadap wanita ini tidak perlu disensasikan untuk mendapatkan keadilan dan reaksi tepat para penguatkuasa. Ia adalah asas tindakan penguatkuasaan.

ibu-ibuKerajaan Negeri Selangor ingin melakukan semaksimumnya usaha-usaha pencegahan, perlindungan dan pendakwaan bagi menangani jenayah keganasan terhadap wanita. Ia memerlukan kerjasama erat kerajaan persekutuan secara tersusun dan sistematik (Kenyataan Media saya bertarikh 26 Julai 2012 adalah dirujuk). Kelekehan dan kegagalannya akan meletakkan rakyat, khususnya wanita dalam keadaan tertekan dan tidak selamat.

 

* Rodziah adalah Adun Batu Tiga merangkap Timbalan Ketua Wanita Pusat dan Ketua Wanita Selangor PKR


Pengarang :