Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

MB: Selangor tumpu pembangunan desa yang diabai sejak 56 tahun merdeka

logo-merdeka-2013-wallpaperSHAH ALAM 31 OGOS : Pentadbiran telus dan berhemah yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat sejak lima tahun lalu membolehkan setiap rakyat mendapat pelbagai kemajuan dan kemudahan yang disediakan, kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menteri Besar Selangor itu berkata, setiap rakyat tidak kira perbezaan agama dan bangsa tidak terlepas daripada menikmati pelbagai manfaat melalui skim dan program yang dilaksanakan sejak mengambil alih pentadbiran daripada kerajaan terdahulu.

Katanya, Kerajaan Negeri kini menumpukan kepada pembangunan desa yang dahulunya diabaikan supaya pendapatan masyarakat kampung dapat ditingkatkan selari dengan pembangunan di bandar.

“Sejak Kerajaan Negeri diterajui Pakatan Rakyat, dari pentadbiran telus, bersih dan berhemah, pelbagai program dan strategi di buat, impak kemajuan diagih kepada rakyat, dari usia bayi ke liang lahad, yang miskin, yang berada, yang bekeluarga, yang bujang, tiada anak Selangor tertinggal mendapat kemajuan dan kemudahan yang diberikan.

“Pembangunan desa mahu diketengahkan setelah 55 tahun gagal dimaju, pelbagai pemberian agar pendapatan penduduk kampung dapat ditingkatkan, Kerajaan Pakatan Rakyat jadikan ia antara tumpuan,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian dalam ucapannya sempena Sambutan Kemerdekaan ke-56 peringkat negeri Selangor yang bertemakan ‘Rakyat Bersatu, Selangorku Maju’ di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, di sini malam tadi.

Turut hadir di majlis itu, Tengku Panglima Diraja Selangor, barisan Exco Selangor, pegawai-pegawai Jabatan Kerajaan serta lebih 30,000 pengunjung berbilang bangsa.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri akan meneruskan kecemerlangan pentadbiran supaya setiap rakyat di Selangor menikmati setiap kemajuan yang akan dilaksanakan.

“Kerjasama pemimpin dan pihak lain sentiasa dipantau agar sistem penyampaian dilaksanakan agar kebajikan dan kemaslahatan sentiasa
diutamakan, agar tiada pemimpin bertuah mengayakan kroni dan keluarga, bahkan kemudahan lain kepada pelabur sentiasa dijaga.

“Justeru, dalam tempoh lima tahun Pakatan Rakyat, kita akan teruskan kecemerlangan demi kemakmuran, Selangorku maju, rakyat bersatu,” katanya lagi.

Sambutan itu dimeriahkan dengan acara perbarisan dan perarakan 45 kontinjen yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM),

Jabatan Pertahanan Awam Negeri Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), serta lain-lain jabatan kerajaan.

Turut memeriahkan acara ialah persembahan kawad senyap Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pertunjukan aksi lagak ngeri Tatu ATM dan pancaragam sekolah-sekolah.

Laungan slogan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali dan pertunjukan bunga api mengakhiri sambutan kemerdekaan itu tepat pukul 12 tengah malam.

-FZL


Pengarang :