Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

MB: Wabak kencing tikus terhindar jika rakyat utama kebersihan

MB - wabak kencing tikus

SHAH ALAM 24 OGOS: Wabak ‘leptospirosis’ atau kencing tikus dapat dihindari jika segenap lapisan masyarakat mementingkan kebersihan dan kesihatan, kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menyifatkan ia serius, Menteri Besar itu berkata, masalah berkenaan perlu ditangani segera kerana pembiakan tikus boleh menyebabkan wabak itu menular dengan meluas.

Beliau berkata, kerajaan negeri giat menjalankan program gotong royong dan kempen kawalan tikus bagi meningkatkan tahap kebersihan di seluruh Selangor.

Katanya, ia dilakukan dengan kerjasama Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KKBPKT) serta 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

“Tujuannya mengurangkan jumlah tikus berkeliaran dan hasilnya kita mahu menghindarkan perkara ini berlaku di kawasan premis perniagaaan terutama makanan dan premis perumahan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Program Gotong Royong Perdana Peringkat Selangor di sini pagi ini.

Ia dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Bahagian Dasar) KKBPKT, Yong Bun Fou; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan; Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Ali selain kira-kira 200 hadirin.

Mengikut laporan Kementerian Kesihatan, sebanyak 7,701 kes leptospirosis dengan 121 kematian berlaku di seluruh negara sejak 2011 hingga 1 Jun lalu.

Selangor pula mencatat 260 kes dengan sembilan kematian sepanjang tahun lalu hingga Mei lalu.

Abdul Khalid berkata, budaya kebersihan penting dan perlu menjadi keutamaan untuk memiliki kesihatan baik, sekali gus membantu mengelak penyakit yang boleh membawa maut itu.

Beliau turut mengajak rakyat mencontohi negara seperti Jepun, Korea yang masyarakatnya mementingkan amalan kebersihan.

– FZL


Pengarang :