Selangorkini
NASIONAL

Nazri buat kementerian sesuka hati, tukar anak bila dikecam

NazriNadeemSHAH ALAM 18 OGOS: Pemimpin Umno BN kerap berbuat perangai sesuka hati dalam pentadbiran dan hanya membuat pembetulan selepas dikecam rakyat, kata  Tian Chua.

Naib Presiden PKR itu merujuk penukaran jawatan anak lelaki Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, dari Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan ke Parlimen Padang Rengas.

Ahli Parlimen Batu itu berkata, Nazri hanya membuat kenyataan mengelirukan dan menukar jawatan anaknya, Nedim untuk menutup isu berkenaan dari kritikan rakyat.

“Dia kata anak dia sudah kaya dan tidak perlu dibayar. Itu perkara yang agak pelik. Kita tak tahu sama ada dia kerja percuma atau hanya datang bantu.

“Nazri buat kementerian sebagai hak peribadi. Dia nak letak anak, dia nak letak siapa-siapa sesuka hati. Itu nampaknya perangai menteri Umno BN,” katanya kepada TV Selangor, hari ini.

Nedim adalah pegawai khas Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sebelum ditukar kepada pegawai khas Ahli Parlimen Padang Rengas, selepas pelantikan itu menjadi perdebatan ramai.

Perubahan kepada jawatan Nedim dipercayai dibuat berikutan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan seseorang menteri tidak boleh mengambil ahli keluarganya bertugas di kementerian.

Nazri adalah menteri di kementerian berkenaan dan Ahli Parlimen Padang Rengas.

Mengulas lanjut, Tian Chua berkata, kes seumpama itu bukan pertama kali berlaku, sebaliknya menjadi kelaziman di kalangan pemimpin Umno BN.

“Perdana Menteri boleh letak isteri, (mungkin) beri bajet pada isteri, itu dah macam satu kelaziman politik Umno-BN,” katanya.


Pengarang :