Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Negara tiada wang, rakyat hadapi ‘malapetaka’ baru Umno-BN

mahfuz omar

SHAH ALAM 20 OGOS : Rakyat bakal berhadapan dengan ‘malapetaka’ baru selepas kemenangan Umno-BN dalam Pilihan Raya Umum ke- 13 dengan kenaikan pelbagai cukai, harga barangan dan perkhidmatan.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, berkata, kerajaan pimpinan Umno-BN sudah ‘kehabisan’ wang sehingga sanggup akan melaksanakan pelbagai tindakan seperti mengenakan cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) dan kenaikan tarif elektrik terhadap rakyat.

“Rakyat terperangkap dengan pemberian oleh kerajaan Umno-BN yang hanya dapat menghasilkan kenikmatan sementara dengan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan pelbagai lagi.

“Kerajaan sebenarnya melakukan penipuan kepada rakyat dengan memberikan sesuatu yang nikmatnya hanya seketika,” kata Mahfuz ketika dihubungi TVSelangor.

Beliau berkata, kenaikan tarif elektrik yang bakal dilaksanakan suatu yang tidak wajar walaupun dikatakan hanya sejumlah pengguna yang akan mengalami kesan daripada kenaikan itu.

“Bila harga elektrik naik maka harga barangan turut sama naik yang akan memberikan kesan kepada pengguna keseluruhannya.

“Ia merupakan malapetaka yang akan dihadapi rakyat dan rakyat akan dibimbangi dengan kadar kenaikan jenayah dan pada masa yang sama digodam oleh kerajaan yang akan meresahkan hidup rakyat,” kata beliau.

Tambah Mahfuz, kerajaan Umno-BN dalam keadaan sudah kekurangan dan ‘kehabisan’ duit ini dan akan melakukan pelbagai tindakan yang tidak pro-rakyat bagi mendapatkan semula duit daripada rakyat.

“Hutang negara dan hutang yang dijamin oleh kerajaan kini sudah melebihi RM600 bilion yang bermakna meletakkan pada kadar 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang ini membahayakan negara.

“Selepas ini GST akan dilaksanakan untuk membolehkan sepertimana yang disebut oleh Perdana Menteri apabila kerajaan akan mendapat sumber pendapatan yang baru.

“Apabila pengurangan subsidi terhadap barang-barangan keperluan hidup rakyat ini dilakukan bermakna rakyat akan terbeban sebanyak dua kali,” kata beliau.


Pengarang :