Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

NGO mahu kerajaan guna undang-undang lebih moden

jenayah 1

SHAH ALAM 22 OGOS : Kerajaan diseru untuk menggunakan undang-undang yang lebih moden, progresif dan menghormati hak asasi manusia untuk membendung jenayah ganas di negara ini, tegas NGO, Lawyers for Liberty (LFL).

Menurut Pengasas bersama LFL, Eric Paulsen, berkata kumpulan hak asasi manusia dan pembaharuan undang-undang itu tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan menggunakan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 yang membenarkan polis menahan suspek sehingga 72 hari tanpa didakwa.

“Kita melihat tempoh itu masa yang panjang, berlebihan dan tidak perlu,” kata Eric Paulsen dalam satu kenyataannya.

Beliau menyeru agar kerajaan mencontohi undang-undang di United Kingdom untuk menangani jenayah terancang dengan menggabungkan usaha pelbagai badan dan agensi untuk mengenal pasti dan menangani kumpulan penjenayah.

“The Serious Organised Crimes Agency’ (SOCA) diwujudkan untuk menangani jenayah terancang dengan cara yang jauh lebih berkesan dan moden,” kata Paulsen.

SOCA melibatkan kerjasama polis, kastam, imigresen dan pihak berkuasa lain untuk mengumpul maklumat kumpulan penjenayah terancang dan mengenal pasti aset kewangan kumpulan termasuk hartanah, perniagaan dan akaun bank.

Katanya, penyelesaian moden itu adalah jauh lebih baik daripada PCA 1959 yang dilihat sebagai ‘tidak boleh diterima’ kerana potensi untuk berlakunya penyalahgunaan.

“Majistret akan hanya menjadi ‘rubber stamp’ untuk permohonan polis bagi mendapatkan perintah reman.

“Tempoh reman yang lama ini akan membawa kepada salahguna kuasa termasuk peras ugut, serangan, penyeksaan dan kematian dalam tahanan,” kata Paulsen.

– MZA


Pengarang :