Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Ops cantas bukti Malaysia tidak perlukan Akta Darurat

azmizam luar pc 01

SHAH ALAM, 20 OGOS : Hasil operasi perintis Ops Cantas Khas yang dilancarkan PDRM baru-baru ini membuktikan polis mempunyai kepakaran dan kemampuan untuk memerangi jenayah secara agresif tanpa perlu Akta Darurat (EO).

Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMK) Selangor, Azmizam Zaman Huri berkata rakyat sebenarnya sedar potensi sebenar PDRM jika badan itu ada kemahuan.

“Undang-undang dan akta sedia ada sudah cukup untuk tangani masalah jenayah. Apa yang perlu hanya ketegasan dan sentiasa menjalankan kerja mencegah jenayah,” tegas Azmizam.

Pihak berkuasa juga dinasihatkan agar tidak menjalankan operasi perang jenayah secara bermusim.

Pandangan AMK Selangor selaras dengan pendirian Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi yang berkata tahanan tanpa bicara seperti EO adalah jalan pintas bagi polis yang mahu mengelakkan kerumitan pembuktian yang dituntut Akta Pencegahan Jenayah (PCA).

PCA menuntut polis mengemukakan tertuduh ke hadapan majistret untuk didakwa dalam masa 24 jam. Manakala Akta Darurat membolehkan polis menahan seseorang sehingga 60 hari tanpa perbicaraan.

Kesemua yang ditahan dibawah Ops Cantas Khas disiasat dibawah PCA.

“Bayangkan baru 4 hari Ops Cantas dilaksanakan, Polis Kontinjen Selangor berjaya berkas 211 penjenayah. Saya kira kalau ia dilakukan berpanjangan bukan sahaja mampu mengekang malah mampu mengatasi kegiatan jenayah ini dari terus menjadi-jadi,” tambahnya.

Kementerian Dalam Negeri sebelum ini mengundang kritikan dari pelbagai pihak ekoran kejadian jenayah berat dan pembunuhan yang berleluasa. Kerajaan Persekutuan beralasan EO yang dimansuhkan perlu diganti bagi mengekang penjenayah bermaharajalela.

“Tidak perlu mengembalikan Akta Darurat. Dikhuatiri ia akan disalahguna dengan menahan aktivis politik yang tidak sebulu dengan kerajaan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri,” tegas Azmizam.

Sebelum EO dimansuhkan, Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar ketika menjadi Timbalan KPN berkata individu-individu yang terlibat dalam kegiatan subversif terhadap pemerintah boleh ditahan dibawah akta itu.

Kenyataan itu menyusuli penangkapan enam individu termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput Dr S Jeyakumar Devaraj kerana menyokong himpunan aman Gabungan Pilihanraya Bersih & Adil (Bersih) 2.0 pada 3 Julai 2011.

– HM


Pengarang :