Selangorkini
Uncategorized

PAS Desak Kerajaan Pusat Adakan Sidang Khas Parlimen Bincang TPPA

tppa

SHAH ALAM 5 OGOS : PAS mendesak Kerajaan Pusat supaya mengadakan sidang khas parlimen bagi membahaskan isu Perundingan perjanjian Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) yang bakal dimeterai Oktober ini.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perbahasan isu itu perlu menjurus kepada sudut perlunya Malaysia harus mengundur diri dan menolak TPPA.

Katanya, perbahasan itu juga perlu disertai oleh bekas negarawan dan Gabenor Bank Negara serta institusi-institusi yang mempunyai kepakaran ekonomi.

“Ia perlu dilakukan sebelum keputusan dibuat ,jika tidak menjumpai sebarang alasan kukuh untuk menolaknya, barulah ia harus dibincang mengapa Malaysia harus menerima TPPA.

“Kerajaan Pusat harus menangguhkan perjanjian TPPA ini selagi TPPA tidak didebat secara menyeluruh dan difahami rakyat,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau menambah penarafan kredit dunia, Fitch Ratings meletakkan Malaysia pada kedudukan negatif dan penurunan nilai mata wang Ringgit secara mendadak sejak Umno-BN mendapat mandat selepas Pilihanraya Umum ke 13 lalu.

Katanya, ia membuktikan jelas tanda bahawa ekonomi negara belum bersedia dan kukuh untuk memasuki perjanjian TPPA.

Jelasnya, kedudukan ekonomi negara yang semakin lemah menyebabkan kerajaan tiada sebab yang cukup untuk berunding dan memastikan TPPA menguntungkan negara secara keseluruhannya.

“Tanpa kawalan modal dan penambatan mata wang sebagai senjata pertahanan ekonomi ketika diserang kapitalis-kapitalis dunia seperti di 1997.

“Negara akan mudah ditekan untuk menerima bantuan daripada institusi kewangan dunia seperti IMF, yang mana syaratnya bagaikan satu penjajahan moden terhadap negara kecil,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, PAS bimbang kerana di dalam TPPA tertera sistem Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS) di mana pelabur atau syarikat asing diberi kuasa untuk mengemukakan saman kepada kerajaan di mahkamah antarabangsa.

“Sekiranya krisis berlaku, dan nilai mata wang Ringgit jatuh mendadak, ketidakmampunan negara dan syarikat tempatan menanggung kos perbicaraan di Mahkamah Antarabangsa akan meningkat secara mendadak.

” Ini sangat tidak adil untuk negara-negara kecil yang memasuki TPPA ini.

“Setelah 18 kali berunding, kandungan TPPA masih tidak diketahui umum, dan lebih teruk lagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri terus membisukan diri,” katanya.


Pengarang :