NASIONAL SELANGOR

Pelajar Selangor di Mesir lega tiba di tanah air

halimah 2

SEPANG, 28 OGOS : Sekumpulan 31 penuntut Selangor di Mesir yang dibawa pulang secara berperingkat melalui penerbangan komersil dalam Ops Piramid 2 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 11.30 malam tadi.

Mereka yang tiba di tanah air dengan menaiki pesawat Etihad 0416 itu disambut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Kumpulan berkenaan adalah sebahagian daripada lebih 800 pelajar Selangor di Mesir yang sedang dibawa pulang secara berperingkat melalui penerbangan komersial dalam Ops Piramid 2 mulai 22 Ogos lalu.

Bagi pelajar jurusan Perubatan di Universiti Al azhar, Mesir, Nur Atikah Zulkifli, ketibaannya ke tanah air dapat mengurangkan kebimbangan ahli keluarga mengenai keselamatannya di negara yang sedang bergolak itu.

Menceritakan pengalaman berada di sana, Atikah yang berada di bawah tajaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkata, keadaan asrama anak Selangor di sana rata-ratanya masih berada dalam keadaan selamat.

“Sebenarnya semasa hari kejadian, saya tidak berada di situ tetapi ada dikalangan rakan-rakan yang dapat melihat gas pemedih mata dilepaskan kerana rumah kami memang berhampiran dengan tempat kejadian.

“Pihak keselamatan di sana sentiasa memantau keadaan pelajar. Kalau ikutkan, pelajar tidak mengalami sebarang masalah di sana, tetapi demi keselamatan lebih baik kami dihantar pulang ke tanah air,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Ahmad Muizuddin Muhammad Kamaruzzaman berkata, tidak semua tempat di Mesir yang terlibat dengan pergolakan itu, namun tempiasnya masih dapat dirasakan.

Beliau berkata, langkah membawa pulang pelajar ke Malaysia adalah tindakan bijak kerana kebanyakan ibu bapa bimbangkan keselamatan anak-anak mereka di sana.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak tertentu yang telah membawa kami pulang kerana kalau lihat keadaan sekarang, memang elok kami balik ke Malaysia,” katanya.halimah 2

Sementara itu, Dr Halimah ketika ditemui mengharapkan supaya semua pelajar Malaysia di Mesir dapat pulang ke tanah air sehingga keadaan kembali tenang di sana.

Beliau turut menghargai usaha Kerajaan yang memperuntukkan dana untuk memastikan kesemua pelajar selamat pulang ke negara ini.

“Kita khuatir kerana keadaan dijangka teruk dan ada dikalangan pelajar yang tidak dapat keluarkan duit.

“Bila tidak dapat keluarkan duit, maknanya sara hidup, makan minum agak sukar. Jadi adalah lebih baik jika mereka pulang ke kampung halaman sehingga keadaan tenteram.

“Kita akan tengok sama ada mereka boleh melanjutkan pelajaran ke Mesir atau bagaimana,” ujarnya.

Selasa lalu, kerajaan memutuskan untuk membawa pulang 3,300 pelajar Malaysia di Mesir menggunakan pesawat komersial berikutan pergolakan di negara itu yang dilaporkan semakin tidak menentu.

Proses membawa pulang pelajar dijangka akan berlangsung sehingga Jumaat ini.


Pengarang :