Selangorkini
SELANGOR

Pengangkutan awam cekap pemangkin kemajuan Selangor

 

gambar hiasan
gambar hiasan

SUBANG JAYA, 27 OGOS : Kemajuan Selangor terbantut sekiranya mobiliti sumber terjejas akibat sistem pengangkutan awam yang tidak cekap, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau menegaskan pembangunan prasarana dan sistem pengangkutan yang efisien menjadi cabaran untuk Selangor merebut semua peluang yang dibentangkan dalam pelan Greater Kuala Lumpur-Bidang Ekonomi Utama Negara.

Lantas, Kerajaan Negeri memberi penekanan kepada Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan sistem transit massa laju (MRT) yang baru kerana ia menjadi pemangkin pertumbuhan bagi Selangor dan Lembah Klang.

“Perubahan minda di kalangan warga kota untuk beralih kepada sistem pengangkutan awam daripada kenderaan persendirian adalah satu cabaran yang semua pihak harus tangani secara berkesan,” tegas Abdul Khalid kepada hadirin di Sidang Kemuncak Hartanah dan Perumahan Negara ke-16 di Sunway Piramid Convention Center, Bandar Sunway.

Beliau memberitahu penggunaan pengangkutan awam telah menurun daripada 35 peratus pada tahun 1985 kepada 20 peratus pada tahun 1997 dan kini merosot kepada kurang daripada 12 peratus.

Sebelum ini, agensi berita AP melaporkan penggunaan pengangkutan awam di Malaysia merosot dipercayai akibat dari ketidakyakinan rakyat kepada kecekapan perkhidmatan yang disediakan.

Projek MRT yang dicadangkan pada 2010 melibatkan pembinaan jaringan pengangkutan awam berasaskan rel yang bersepadu dengan sistem transit aliran ringan (LRT), monorel, KTM Komuter, Ekspres KLIA dan Transit KLIA.

Dengan matlamat untuk menukar liputan pengangkutan awam di Lembah Klang yang tidak memuaskan dan tidak mampu menampung keperluan penduduk, sasarannya adalah untuk menjadikan 50 peratus daripada semua perjalanan yang dilakukan di Lembah Klang menggunakan pengangkutan awam.

“Kewujudan rangkaian infrastruktur dan perkhidmatan awam yang sangat baik, merupakan salah satu daripada faktor penarik untuk perniagaan dan orang awam dalam mempertimbangkan destinasi pilihan,” jelas Khalid.

Dalam merebut peluang pembangunan menerusi NKEA ini, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri juga akan memberi penekanan terhadap usaha menaiktaraf dan menyediakan prasarana baru termasuk utiliti dan kemudahan pengangkutan awam pelbagai mod dan komunikasi.

“Ini juga akan menjadi pemangkin kepada pelabur untuk membina premis industri dan komersil sekaligus menyokong aktiviti-aktiviti dalam sektor pembuatan dan industri logistik bukan sahaja Selangor tetapi di seluruh Malaysia dan juga Asia Tenggara,” jelasnya lagi.


Pengarang :