Selangorkini
SELANGOR

Peralatan keselamatan tak berfungsi, menteri pentingkan Ordinan Darurat

nurul izzah ipad 01

SHAH ALAM 15 OGOS: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi lebih mementingkan usaha mengembalikan undang-undang drakonian, Ordinan Darurat (EO) berbanding menangani masalah jenayah berat yang kian berleluasa.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, berkata ia menjadikan kerajaan dan polis tiada keupayaan melawan kepenjenayahan yang sebenarnya boleh dikenal pasti melalui rekod.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya tidak menggunakan alasan pemansuhan EO sebagai peningkatan kepada statistik jenayah berat.

“Alasan itu tidak releven, sebenarnya kerajaan gagal mengawal selia peralatan dalam mencegah jenayah,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas isu jenayah terbaru membabitkan seorang penasihat undang-undang, 28, yang terselamat dari cubaan menculik di persimpangan Jalan Maarof berhampiran dengan Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Bangsar Baru.

Mangsa turut meminta polis memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV), tetapi ia tidak berfungsi.

Nurul Izzah berkata, perkara asas yang perlu bagi memerangi jenayah antaranya peralatan mencukupi dan berfungi dengan baik, selain pengagihan tenaga kerja polis.

“Kenyataan Zahid bahawa kira-kira 260,000 penjenayah berat berleluasa adalah kenyataan atas angin dalam usaha memusatkan kuasa di tangan menteri ketika kerajaan gagal menyediakan khidmat terbaik buat rakyat.

“Malaysia ada undang-undang yang cukup untuk mencegah jenayah tetapi kekurangan dari segi penguatkuasaan dan penyediaan peralatan yang berfungsi secara baik dari CCTV, kereta peronda dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan tidak komited menyelesaikan masalah yang berkait dengan pengawasan, pemantauan dan pencegahan jenayah walaupun berikrar menyediakan peralatan mencukupi kepada polis.

“Kerajaan perlu menambah bilangan anggota polis memandangkan penduduk Malaysia hampir dengan piawaian antarabangsa iaitu kira-kira 1:275. Jadi memerlukan kelengkapan peralatan yang lengkap,” katanya.

– FZL


Pengarang :