Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Permohonan Tian Chua batal pertuduhan diketahui 26 Sept

tian chua mahkamah

KUALA LUMPUR, 22 OGOS : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 26 September ini untuk keputusan berhubung permohonan Naib Presiden PKR, Tian Chua bagi membatalkan pertuduhan menghasut yang dihadapinya berhubung isu pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Hakim Datuk Amelia Tee Hong Geok Abdullah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Eric Paulsen yang mewakili Tian Chua dan Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim dipetik daripada sumber Bernama.

Eric dalam hujahannya berkata pertuduhan terhadap anak guamnya adalah salah di sisi undang-undang, berniat jahat atau mala fide, bermotifkan politik dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Beliau berkata pertuduhan yang dibuat ke atas Tian Chua juga adalah bertentangan dengan dasar awam kerana Tian Chua merupakan seorang anggota Parlimen dan ahli politik pembangkang yang telah mengguna pakai hak kebebasan bersuara dan hak lain yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Pemohon (Tian Chua) telah melaksanakan kewajipannya kepada masyarakat dan negara untuk memeriksa dan memperseimbangkan tindak-tanduk kerajaan selaras dengan amalan demokrasi negara,? katanya.

Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 50, memfailkan permohonan itu pada 12 April lepas.

Pada 14 Mac lepas, Tian Chua mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyebut perkataan menghasut, termasuk menyatakan bahawa serangan tembak-menembak di Lahad Datu dipercayai konspirasi terancang kerajaan Umno untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat.

Tian Chua, yang juga Ahli Parlimen Batu didakwa melakukan kesalahan itu di No. 62-2-A Fraser Business Park, Jalan Metro Pudu off Jalan Yew, di sini pada pukul 11 pagi, 1 Mac lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000.

Atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama dan boleh dipenjara maksimum lima tahun bagi kesalahan seterusnya. – MZA


Pengarang :