Selangorkini
SELANGOR

Persahabatan bandar MPSJ-Hioki genap setahun

mpsj-jepun 1

SUBANG JAYA, 23 OGOS : Yang Dipertua MPSJ Datuk Asmawi Kasbi bersama-sama Datuk Bandar Hioki Yoshinori Kozono meraikan jalinan antara kedua-dua wilayah yang kini genap setahun.

Yoshinori bersama delegasi 12 orang dari wilayah Kagoshima, Jepun berkunjung ke MPSJ dalam satu kunjungan balas selama seminggu bermula 21 hingga 29 Ogos ini.

“Kita mempelajari sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman Hioki dalam pentadbiran bandar khususnya pengurusan sampah,” kata Asmawi di majlis tersebut yang diadakan serentak dengan pemeteraian MOU bersama tiga rakan sinergi MPSJ.

MPSJ membelanjakan RM60 juta setahun untuk menguruskan sampah domestik serta kerja-kerja memotong rumput dan pembersihan sampah sarap di dalam kawasan perbandaran.

“Sekiranya usaha kita berjaya membentuk pemikiran masyarakat, mereka boleh menguruskan sampah dengan baik, nescaya penjimatan kos pengurusan sampah itu kita dapat salurkan kepada pembangunan insfrastruktur dan sebagainya,” jelas Asmawi.

Hioki merupakan bandar kembar MPSJ menerusi Program Persahabatan Bandar sejak 28 Ogos 2012. Dengan penduduk seramai 51,819 orang dengan kepadatan 205 orang setiap satu kilometer persegi, Hioki dibentuk pada 1 Mei 2005 hasil gabungan pekan Fukiage, Higashiichiki, Hiyoshi dan Ijuin.mpsj-jepun

“Kami akan berkongsi pengalaman yang ada dengan memberi maklumat yang tepat. Apa yang penting ialah kesedaran komuniti mengenai kepentingan pengurusan sampah,” kata Yoshinori.

Bagi memastikan perkongsian pintar MPSJ-Hioki sentiasa erat, MPSJ telah mewujudkan Pusat Usahasama MPSJ-Hioki di Aras G, Bangunan Kompleks 3C.

Pusat usahasama itu antara lain berperanan sebagai pusat rujukan dalam perkongsian ilmu, peralihan kemahiran dan kebudayaan.

-HM


Pengarang :