Selangorkini
NASIONAL

PKR : Polis Cegah Jenayah, Bukan Jaga Politik

nik nazmi

SHAH ALAM 2 OGOS : Malaysia tidak memerlukan undang-undang ?penahanan untuk pencegahan? seperti Ordinan Darurat (EO) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam usaha memerangi jenayah kerana ian terdedah kepada penyalahgunaan akta oleh kerajaan.

PKR turut mempertikaikan kononnya sebahagian besar aktiviti jenayah melibatkan keganasan yang menular akhir-akhir ini dilakukan oleh tahanan yang dibebaskan selepas pemansuhan EO.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, hujah yang dibangkitkan pihak-pihak yang ingin mengembalikan akta-akta tersebut tidak disertakan bukti kukuh dan jelas yang mengaitkan pemansuhan EO dan ISA kepada peningkatan kadar jenayah yang makin meningkat.

“Tanpa bukti kukuh, hujah pihak-pihak yang ingin memperkenalkan balik EO dan ISA itu adalah hanya pandangan semata-mata.

“Kami juga ingin mempersoalkan, mengapa anasir-anasir jenayah ini tidak boleh ditahan dan didakwa mengikut ketetapan undang-undang yang sedia ada?

“Mengapa pihak berkuasa berpendapat bahawa hanya penahanan tanpa perbicaraan – yang biasanya hanya digunakan pada zaman darurat – boleh menangani jenayah ganas dan apakah yang menghalang pihak berkuasa daripada bertindak terhadap jenayah dan penjenayah mengikut ketetapan undang-undang yang sedia ada?,” soal Nik Nazmi dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Adun Seri Setia berkata, seharusnya kerajaan memperbanyakkan lagi senarai anggota polis yang mana sumber dan masa mereka didedikasikan terhadap pencegahan jenayah dan bukannya terhadap dakwaan selektif berunsurkan politik.

“Malaysia tidak lagi memerlukan undang-undang yang menzalimi dan memecah belahkan masyarakat kerana undang-undang sedemikian pernah dan boleh disalahgunakan oleh kerajaan untuk tujuan politik.

“Adalah amat penting untuk rakyat Malaysia menyedari bahawa kadar jenayah kini yang semakin menular, tidak boleh dijadikan suatu alasan untuk mengugat hak asasi rakyat dan adalah amat perlu bagi semua rakyat Malaysia untuk bersatu-padu mendesak kerajaan untuk menjaga keselamatan dan membela kebebasan rakyat,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) selepas memansuhkan EO dan ISA kononnya sebagai sebahagian daripada usaha transformasinya selain pernah mengumumkan hasrat memansuhkan Akta Hasutan; namun pendakwaan di bawah akta tersebut terus meningkat.

 


Pengarang :