NASIONAL SELANGOR

Potongan utiliti: Kerajaan negeri mahu JMB, MC berwaspada

gambar hiasan
gambar hiasan

Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Jawatankuasa Pengurusan (MC) pangsapuri yang masih mempunyai tunggakan bil diminta mengadakan perbincangan bersama syarikat utiliti dengan kadar segera.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad mahu JMB dan MC mencapai pelan pembayaran berjadual bagi mengelakkan pemotongan perkhidmatan utiliti.

“Pejabat ini dan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) kerap didatangi JMB dan MC meminta bantuan Kerajaan Negeri apabila bekalan air atau bekalan elektrik dipotong.

“Tetapi ketika itu jumlah tunggakan telah menjadi terlalu tinggi dan penduduk akan menghadapi masalah untuk membayar tunggakan tersebut,” jelas Iskandar.

LPHS bersedia menjadi pemudah cara dalam rundingan antara JMC/MC dan syarikat utiliti.

“Tetapi rundingan mungkin akan memakan masa yang lama sebelum sebarang persetujuan dapat dicapai dan bekalan dapat disambung semula.

“Oleh itu, lebih mudah sekiranya rundingan dilakukan sebelum pemotongan,” katanya.

Beliau berpesan agar JMB mahupun MC tidak mengambil mudah dan leka sekiranya pemotongan tidak dilakukan kerana pemotongan boleh dilakukan pada bila-bila masa. – HM


Pengarang :