NASIONAL SELANGOR

Rafizi: Jadikan perumahan rakyat projek nasional

RAFIZI-NFC

SHAH ALAM 28 OGOS : Kerajaan Pusat digesa mewujudkan sebuah perbadanan perumahan pada kadar segera dengan mandat untuk melaksanakan projek perumahan rakyat pada skala besar-besaran.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, berkata perbadanan dengan peruntukan yang khusus itu mampu untuk mengatasi krisis perumahan yang dihadapi rakyat.

“Kita perlukan perbadanan perumahan yang khusus dan diberikan pelepasan untuk menjalankan projek perumahan secara besar-besaran khususnya di kawasan perbandaran.”

“Dan hanya dengan cara itu maka harga rumah dapat diturunkan secara mendadak,” kata Rafizi ketika dihubungi TVSelangor.

Tambah Rafizi, Pakatan Rakyat berpendirian bahawa skim subsidi perumahan perlu diwujudkan supaya golongan berpendapatan rendah dan sederhana mampu mendapatkan nilai rumah yang berpatutan.

Tegas beliau, nilai hartanah yang tinggi terutamanya di kawasan bandar-bandar utama melonjakkan harga rumah di luar kemampuan rakyat biasa.

Laporan media sebelum ini menyatakan bahawa harga rumah teres di Lembah Klang akan meningkat sekali ganda menjelang tahun 2020.

Pada ketika ini dilaporkan harga Kondominium One Menerung di Bangsar yang seluas 2,000 kaki (185 meter) persegi dijual pada harga RM2.4 juta seunit.

Manakala, sebuah rumah semi-D di Sri Hartamas berharga RM1.5 juta manakala rumah teres dua tingkat di Cheras bermula dari harga RM500,000.

Malah, kawasan pinggir Lembah Klang seperti Kajang, Bangi, Sungai Buloh, Rawang dan Klang turut dilaporkan menunjukkan trend yang sama.

Di beberapa lokasi seperti Semenyih dilaporkan harga rumah teres yang dengan keluasan 24×70 kaki (7×21 meter) mencecah harga RM460,000.

Di Kajang, dilaporkan rumah bersaiz 22×70 kaki berharga RM510,000, Rawang RM288,000 (20×65 kaki), Sungai Buloh RM398,000 (22×75 kaki) dan Klang RM335,000 (24×75 kaki).

“Pakatan Rakyat menganggarkan sekurang-kurangnya RM5 bilion diperlukan untuk memastikan perkara ini (menjayakan perumahan mampu milik) berdasarkan contoh daripada negara-negara lain yang membina rumah-rumah mampu milik,” kata beliau.

Harga rumah dilaporkan naik ketika purata pendapatan warga kota yang berpendapatan sederhana hanya sekitar RM6,000 sebulan.

Rafizi berpendapat Kerajaan Pusat perlu merumuskan Dasar Perumahan Negara yang benar-benar komprehensif bagi memastikan kebajikan rakyat tempatan yang berpendapatan rendah dan sederhana terbela.

Jelasnya agensi-agensi kerajaan perlu mengambil sikap untuk mendahulukan golongan itu dan bukan sekadar meraih keuntungan semata-mata.

“Sekarang yang dibina oleh Kerajaan melalui Syarikat Perumahan Negara (SSPN) itu tidak berkesan, kerana SSPN berfungsi sebagai kontraktor swasta dan bermotifkan keuntungan.

“Dan banyak projek yang diusahakan oleh SSPN dengan melibatkan kontraktor dan rakan kongsi swasta yang mana elemen mengambil keuntungan adalah tinggi,” tegas beliau.


Pengarang :