Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Rafizi : Naikkan RPGT tidak selesai masalah harga rumah

rafizi-pc

SHAH ALAM 28 OGOS : Cadangan Kerajaan Pusat untuk menaikkan kadar Cukai Jualan Hartanah (RPGT) dalam pembentangan Bajet 2014 pada 25 Oktober ini tidak akan menyelesaikan masalah kenaikan harga rumah yang tinggi.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat Rafizi Ramli berkata Kerajaan Pusat perlu mendekati masalah kenaikan harga yang tinggi secara menyeluruh, dan bukan mengambil jalan penyelesaian sementara.

“Walaupun usaha untuk memperkenalkan dan menaikkan kadar RPGT boleh membantu mengurangkan spekulasi tetapi punca awal adalah kerajaan BN yang ghairah dan tidak memikirkan rakyat bawahan ketika menghapuskan RPGT,” kata Rafizi.

Sebelum ini, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata kadar RPGT semasa gagal mengekang spekulasi hartanah sehingga kerajaan perlu campurtangan menangani masalah itu.

Rafizi berhujah faktor percukaian hartanah dan spekulasi harga rumah bukan semata-mata masalah yang menyebabkan berlakunya kenaikan harga rumah .

Antara pendekatan yang disarankan Rafizi adalah pembanterasan gejala rasuah yang membelit sektor pembinaan.

“Kerajaan perlu komited membanteras gejala rasuah yang berlaku dalam projek perumahan yang menyumbang kepada kenaikan harga rumah,” tegas Rafizi.

Sebelum 2007, kerajaan menetapkan hartanah dijual dalam tempoh dua tahun selepas dibeli perlu membayar RPGT sebanyak 30 peratus; cukai 20 peratus jika menjualnya dalam tempoh empat tahun; lima peratus pada tahun kelima dan tidak dikenakan cukai selepas enam tahun.

Namun begitu, mulai April 2007 hingga Januari 2010, semua keuntungan daripada urus niaga hartanah dikecualikan daripada RPGT sebagai langkah untuk meningkatkan jualan hartanah ketika kelembapan ekonomi.

Ia diperkenalkan semula pada Belanjawan 2011 yang mana perolehan penjualan hartanah untuk tempoh kurang lima tahun dikenakan RPGT lima peratus.

Pada Belanjawan 2012 perolehan daripada penjualan hartanah kurang dua tahun dikenakan RPGT 10 peratus; dua hingga lima tahun sebanyak lima peratus; manakala lima tahun ke atas tidak dikenakan RPGT.


Pengarang :