Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Rundingan air: Selangor mahu tangani isu secara Holistik

IMG_3807

SHAH ALAM 16 OGOS : Kerajaan Negeri mahu pendekatan menyeluruh dalam menangani soal perawatan dan pembekalan air terus diperbincangkan bersama Kerajaan Persekutuan.

Exco Pekerja Ladang, Kemiskinan & Kerajaan Prihatin V Ganabathirau menegaskan Selangor mahu cadangan-cadangan alternatif yang lebih ekonomik tetapi berkesan terus diterokai dan diperhalusi dalam perbincangan itu sebelum Kerajaan Negeri mempersetujui pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 (Langat 2).

“Kerajaan Negeri perlu mencari penyelesaian jangka masa panjang dan mengambil kira kepentingan dan kebajikan rakyat. Kita sedia maklum projek Langat 2 akan menelan kos yang besar dan tentu akan membebankan Kerajaan Negeri dan rakyat nanti,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini yang mengumumkan rundingan bersama Kerajaan Negeri berhubung Langat 2 sudah mencapai kemajuan.

Ganabatirau berkata pendirian rasmi Kerajaan Negeri berhubung perkembangan terbaru ini hanya akan diumumkan oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, di masa yang sesuai.

Projek Langat 2 dijangka menelan kos sebanyak RM8 bilion, dan akan merawat 1.89 bilion liter air mentah bagi keperluan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 2025.

Kerajaan Negeri mengemukakan beberapa cadangan alternatif antaranya menaiktaraf kemudahan takungan Sungai Selangor di Bestari Jaya.

Dengan kos yang lebih efisien, projek terbabit dijangka menyalurkan 2,000 juta liter sehari, atau 20 peratus lebih dari jumlah air harian yang diperlukan Lembah Klang.

Turut dicadangkan adalah penyiapan pembangunan projek mitigasi 1 dan projek mitigasi 2 melibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) dan LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3).

Kedua-dua projek mitigasi itu mampu mengeluarkan air terawat lebih 600 juta liter sehari.

Kemudahan loji air di Bukit Jelutong yang terbiar turut dicadangkan bagi meningkatkan lagi kapasiti air sebanyak 50 juta liter sehari.

“Ketika ini, krisis air sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu. Namun, kita tidak menolak bahawa kita memerlukan air yang banyak akan datang kerana Selangor sebuah negeri yang maju dan pesat membangun,” tegas Ganabathirau.

Langkah-langkah kos efektif ini dicadangkan Kerajaan Negeri yang bimbang pengguna Selangor terpaksa menanggung beban tarif air yang tinggi akibat dari pembinaan projek Langat 2.


Pengarang :