Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Tarif elektrik naik, harga barangan akan naik

 

tnb- wong chen

SHAH ALAM 20 OGOS : Rakyat akan terus dibebani dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan jika Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kerajaan meneruskan hasrat untuk pelarasan kadar tarif elektrik yang baru.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen, berkata walaupun Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir Azman Mohd, berkata pengguna domestik dengan penggunaan bulanan bawah 200 kilowat sejam (kwh) tidak akan terjejas daripada pelarasan tarif itu.

Namun ia akan memberikan kesan apabila pihak industri dan pengusaha perkilangan mengalami kenaikan kos pengeluaran yang terpaksa meningkatkan harga barangan dan perkhidmatan yang mereka keluarkan.

“Pihak pengguna selepas ini akan membayar pada harga yang lebih tinggi apabila berlakunya kenaikan tarif elektrik walaupun kata TNB tidak akan membebankan bil pengguna di bawah 200 kwh iaitu di bawah RM70,” kata Wong Chen ketika dihubungi TVSelangor.

Kata beliau lagi, kenaikan tarif elektrik secara berterusan ini merupakan satu lagi kegagalan penswastaan TNB yang sewajarnya apabila berlaku penambahbaikan dalam pengurusan TNB akan memberikan keuntungan kepada rakyat untuk menikmati kadar tarif elektrik yang munasabah.

Jelas beliau, kenaikan itu juga berpunca apabila berlakunya perjanjian berat sebelah dengan Penjana Tenaga Bebas (IPP) yang akhirnya membebankan pengguna apabila terpaksa membayar kenaikan tariff elektrik.

Beliau turut mendesak agar pihak kerajaan mengambil pandangan semua pihak sebelum membuat sebarang keputusan untuk menaikkan tarif elektrik di negara ini.

Untuk rekod, kerajaan membayar subsidi hampir RM19 bilion setahun kepada IPP yang akan menjualnya kepada TNB bagi menampung keperluan tenaga seluruh negara.

 

– MZA


Pengarang :