Selangorkini
Uncategorized

TERAS: Kenyataan KPN Tidak Matang

saman trafikSHAH ALAM 22 OGOS : Kenyataan Ketua Polis Negara (KPN) untuk membatalkan lesen memandu 1.7 juta individu yang gagal menjelaskan tunggakan saman trafik merupakan satu keputusan yang tidak matang dan tergesa-gesa, tegas Azmi Abdul Hamid.

Presiden Teras Keupayaan Melayu (TERAS) itu berkata, kenyataan Tan Sri Khalid Abu Bakar ternyata dibuat secara melulu, tidak tepat serta tidak berasas terutamanya dalam konteks sebagai usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

“Ia adalah satu pemikiran yang simplistik di mana dengan mudah beliau mengeluarkan kenyataan tanpa penelitian dan kajian yang menyeluruh sehingga menimbulkan satu tindakan yang ‘mismatch’.

“Ibaratnya, penyakit lain, tetapi ubat lain pula yang hendak diberi. Ini tidak betul dan amat dikesali,” kata Azmi ketika dihubungi TVSelangor.

Dalam kenyataannya semalam, KPN berkata tindakan membatalkan saman itu akan dilaksanakan ekoran tidak berpuas hati dengan keputusan statistik kemalangan Ops Selamat III ketika musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini.

Ops Selamat III yang bermula pada 1 Ogos hingga 18 Ogos lepas, secara keseluruhannya mencatatkan 17,831 kes kemalangan yang menunjukkan penurunan sebanyak 106 kemalangan berbanding Ops Selamat II.

Bagaimanapun kadar kemalangan maut telah meningkat sebanyak 32 kes atau 14.2 peratus iaitu daripada 226 kes kepada 258 kes, dengan jumlah kematian turut meningkat sebanyak 49 kes atau 20.2 peratus iaitu daripada 243 kes kepada 292.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, sebenarnya terdapat banyak faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan kadar kemalangan jalan raya dan ia sama sekali tidak berkaitan dengan soal pesalah trafik gagal membayar saman.

Antaranya keadaan jalan raya yang tidak elok, kualiti pemanduan yang kurang, kenderaan persendirian yang semakin banyak serta penggunaan pengangkutan awam yang masih lagi rendah di kalangan pengguna.

Justeru, beliau menggesa agar kerajaan mengkaji dahulu secara terperinci sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang akhirnya hanya akan mengundang reaksi negatif pelbagai pihak.

“Jadilah lebih bijak, berhati-hati, matang dan lebih bertanggungjawab selepas ini. Jangan terlalu ambil mudah isu-isu yang berkaitan dengan rakyat,” katanya.- MZA


Pengarang :