Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Tony Pua: Harga petrol, barang keperluan akan naik

tony phuaSHAH ALAM, 21 OGOS: Masyarakat pengguna diingatkan agar tidak terkejut jika kerajaan Umno-BN mengambil langkah menaikkan harga barangan keperluan asas termasuk petrol dalam Belanjawan 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri Oktober nanti.

Menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara,Tony Pua kenaikan tersebut dijangka berlaku disebabkan kedudukan dana kerajaan semakin meruncing dari akibat kegagalan kerajaan Umno-BN mengambil langkah kukuh membendung isu rasuah, pembaziran dan ketirisan dalam pentadbirannya.

“Saya rasa harga barang keperluan seperti gula, minyak masak, petrol dan lain-lain akan meningkat dalam bajet yang akan dibentangkan tak lama lagi oleh Perdana Menteri.

“Saya rasa ini berlaku kerana pihak kerajaan tidak mengambil langkah yang kukuh mengatasi masalah rasuah, pembaziran, ketirisan dan langkah tidak mengadakan tender terbuka dalam projek kerajaan juga menyebabkan kerajaan tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk keperluan kebajikkan orang ramai.

“Orang ramai tiada pilihan selain terpaksa mengamalkan hidup yang lebih menjimatkan seperti terpaksa ‘downgrade’ kenderaan dan lain-lain langkah yang difikirkan perlu,” kata Pua kepada TV Selangor hari ini.

Bagaimanapun menurut Pua, perkara itu tidak berlaku kepada pemimpin Umno-BN dan kroni mereka yang mampu meneruskan gaya hidup yang mewah apabila terus dianugerahkan projek kerajaan.

“Apa yang berlaku sekarang adalah akibat perbelanjaan yang tidak terkawal, kita boleh lihat ini bukan sebab kita kekurangan pendapatan, malah hasil kerajaan juga semakin meningkat mendadak sejak 10 tahun kebelakangan ini, tetapi masih tertekan di segi defisit akibat yang saya sebutkan tadi,” ujar beliau lagi.

Julai lalu, Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Leo Moggi membayangkan kemungkinan akan berlaku kenaikan kadar tarif elektrik disebabkan langkah kerajaan mengurangkan subsidi bagi tenaga elektrik.

Bagaimanapun Moggi mendakwa kenaikan tersebut akan diputuskan oleh kerajaan.

Baru-baru ini cadangan menaikan tarif elektrik itu dilihat hampir menjadi kenyataan apabila Presiden dan ketua eksekutif TNB, Azman Mohd dipetik dari Berita Harian mengesahkan cadangan menaikkan tarif elektrik.-MZA


Pengarang :