NASIONAL SELANGOR

Umno ketandusan pemimpin, ‘kitar’ semula individu rasuah

umno retakSHAH ALAM 21 OGOS : Umno semakin ketandusan pemimpin bersih dan berkaliber untuk diketengahkan sehingga terpaksa mengitar semula pemimpin yang sudah disabitkan dengan kesalahan rasuah dan salahlaku.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul, berkata ramai pemimpin Umno yang ‘bersih’ sukar untuk naik disebabkan tidak mempunyai kekuatan kewangan dalam persaingan dalam politik wang yang sudah menjadi darah daging dalam Umno.

Beliau berkata, hasrat Tan Sri Mohd Isa Samad yang menawarkan diri untuk Naib Presiden dalam pemilihan Umno merupakan bukti bahawa parti itu tidak mampu menawarkan pemimpin yang lebih bersih.

“Bukan mudah untuk mana-mana individu menaiki tangga dalam tampuk kuasa Umno kerana mungkin dia tidak mempunyai kekuatan kewangan dan kedudukan,” kata beliau ketika dihubungi TVSelangor.

Beliau berkata apabila individu yang rasuah ini menang dalam pemilihan Umno maka mereka ini akan memegang jawatan penting dalam kerajaan dan ia akan memberikan kesan buruk kepada negara.

“Ramai pemimpin kerajaan yang datang dari laluan ini akan lebih bermasalah dengan korupsi dan jenayah.

“Ini akan mendedahkan negara dan rakyat kita kepada kesengsaraan, rakyat yang akhirnya akan rugi dengan apa yang berlaku dalam Umno,” kata beliau.

Sebelum ini, Mohd Isa pernah memenangi jawatan itu bagi penggal 2004-2007 dengan memperoleh 1,507 undi iaitu mengatasi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1,329 undi) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (1,234 undi).

Namun Lembaga Disiplin Umno melucutkan jawatan beliau kerana didapati terlibat politik wang.

Sebelum itu pada pemilihan tahun 2000 beliau bertanding jawatan Naib Presiden tetapi tewas.

Kemasukan Isa dijangka akan menghangatkan lagi persaingan jawatan yang kini disandang oleh Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal.

Penyandangnya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan akan mempertahankan jawatan tersebut.

Selain itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Mohd Ali Rustam turut dikatakan berhasrat untuk merebut jawatan itu.

– mza

 


Pengarang :