Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Utusan diberi 48 jam sebelum dikenakan tindakan undang-undang

gobind

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: DAP memberi tempoh 48 jam kepada Utusan Malaysia membuktikan dakwaannya terhadap Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng baru-baru ini, benar. Lapor Roketkini.com hari ini.

Media kawalan UMNO itu pada 17 dan 18 Ogos lalu menyiarkan dua artikel bertajuk ?Kit Siang manipulasi pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC)? dan ?Akhirnya drama dihentikan? berniat menyerang kepimpinan DAP berkenaan.

Ketua Biro Undang-Undang DAP Kebangsaan, Gobind Singh Deo berkata, Utusan Malaysia perlu membuktikan kebenaran artikel yang disiarkan itu jika tidak tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka.

?Kami mahu Utusan Malaysia menjelaskan daripada sumber mana mereka peroleh fakta untuk menulis dua artikel yang tidak bertanggungjawab itu.

?Jika Utusan Malaysia gagal membuktikannya, tindakan undang-undang akan diambil dan kami memberi tempoh 48 jam untuk mereka menjawabnya.

?Tuduhan dan fitnah seperti itu adalah perkara yang serius, ia juga mencemar serta menjejaskan reputasi Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng,? katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP Kebangsaan, hari ini.

Menurut Gobind, dua saman akan dibuat terhadap Utusan iaitu daripada Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.

Beliau menegaskan, DAP juga akan memfailkan saman kepada Editor Utusan Malaysia, Zulkifli Jalil dan penulisnya, Kasthuri Jeevendran.

Artikel ?Kit Siang manipulasi pemilihan CEC? didakwa berdasarkan ?Laporan Ekuiti (Penipuan Pemilihan CEC) yang ditulis penulis yang tidak wujud bernama Father Augustus Chen.

Antara dakwaan tidak berasas yang tertera dalam dua artikel itu adalah ?bukti begitu kuat mengatakan wujud penyelewengan dan manipulasi undi ketika pengundian?, ?wujud 547 perwakilan haram yang kebanyakannya dari Pulau Pinang diarah mengundi? pemimpin tertentu, ?Kit Siang sering campur tangan dalam menentukan cawangan mana harus hadir pada pemilihan CEC? dan pelbagai lagi.

Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong turut mengulangi cabaran agar Utusan Malaysia membuktikan kewujudan Father Augustus Chen yang sering dijadikan modal untuk menfitnah parti itu.

?Dalam bidang kewartawanan, wartawan bertanggungjawab terhadap apa yang ditulis, segala fakta perlu disahkan terlebih dahulu sebelum diterbitkan.

Jadi saya ingin bertanya adakah Utusan Malaysia pernah bertemu ?Father Augustus Chen??, mana bukti kewujudan beliau?,? soalnya. -Roketkini.com


Pengarang :