SELANGOR

5 pangsapuri perintis skim SEROJA

DSC_0417

BATU CAVES, 23 SEPT: Sebanyak 5 pangsapuri dipilih menjadi perintis Skim Keselamatan Kejiranan Pangsapuri (SEROJA) yang dirumus bagi membantu polis memelihara keamanan dan mencegah jenayah di kawasan-kawasan pangsapuri seluruh Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar Iskandar Abdul Samad berkata Skim Seroja ini disasar membantu sehingga 250 pangsapuri di masa akan datang.

Dijangka dilaksanakan Oktober tahun ini, lima pangsapuri itu adalah Laksamana Jaya, Seri Era, Puchong Permai, Mawar Cempaka dan Megah Villa. Penduduk yang dipilih untuk melakukan rondaan pengamanan di pangsapuri masing-masing akan disaring Polis Diraja Malaysia terlebih dahulu, dan dilengkapi dengan belantan, wisel dan lampu suluh.

“Kerajaan negeri akan membantu program bantu mula ini selama tempoh 3 tahun dan selepas itu program ini dapat diteruskan oleh penduduk itu sendiri.

“Pihak kerajaan negeri juga berterima kasih kepada pihak polis yang bersedia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan program berjaya dilaksanakan,” kata Iskandar di program pelancaran Skim Seroja di Pangsapuri Laksamana Jaya, 21 September lepas.

Acara dihadiri oleh Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Mohd Azizi Mohd Zain dan Adun Batu Caves, Amiruddin Shari.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10,000 setahun untuk mengadakan program-program keselamatan dibawah SEROJA. Peronda yang terlibat juga diinsuranskan sehingga RM10,200 sekiranya berlaku kemalangan semasa melakukan rondaan.

Ketika ditanya wartawan, Iskandar berkata antara tugasan di sesi retreat Exco Kerajaan Negeri Selangor adalah mengenalpasti teknologi Industrialized Building System (IBS) untuk membantu pembinaan Rumah Mampu Milik di Selangor.

IBS adalah teknik pembikinan komponen-komponen pembinaan dalam persekitaran terkawal samada di kawasan pembinaan atau diluar kawasan pembinaan,untuk diletak dan disusun dalam kerja-kerja pembinaan. Melalui teknologi ini, pembinaan dalam dilakukan dengan lebih cepat, pada kos yang lebih berkesan, lebih selamat dengan bahan yang lebih berkualiti, dan pembaziran dapat dikurangkan.


Pengarang :