5 pusat cuci kereta haram diserbu, 16 warga asing ditahan | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

fairuz tahir

5 pusat cuci kereta haram diserbu, 16 warga asing ditahan

Cuci 01

SUBANG JAYA 30 SEPT : Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Jabatan Imigresen Selangor (Imigresen) menjalankan serbuan di lima pusat cucian kereta haram di Subang Jaya dan Puchong di sini hari ini yang menjalankan operasi dengan mengupah warga asing sebagai pekerja mereka.

Operasi bersepadu bermula kira-kira jam 2.30 petang itu dilancarkan kedua-dua pihak berkuasa berdasarkan risikan dan aduan awam berhubung aktiviti tidak sah dilakukan pihak tidak bertanggungjawab demi mengaut keuntungan mudah.


Kelima-lima pusat cucian kereta haram menggunakan khidmat pekerja warga asing itu dengan menjalankan perniagaan mereka di kawasan tidak dibenarkan seperti siar kaki lima serta kawasan tepi jalan raya.

Pengarah Penguatkuasa MPSJ, Mohd Rasip Rasul berkata, hasil dari operasi itu pihaknya menyita lima tempat cucian kereta haram manakala Imigresen memberkas 16 pekerja asing iaitu 15 warga India dan seorang Pakistan.

Beliau berkata, pusat cucian kereta haram itu adalah tiga di USJ 1 manakala dua lagi di Bandar Puteri 5.

“Semua pusat cucian kereta di tepi jalan itu adalah haram. Tidak boleh dilesen atau dipermitkan. Kelima-limanya tadi banyak menyalahgunakan air dan elektrik.

“Berpandukan syarat, pusat cucian kereta mesti dibuat di dalam rumah kedai dan tidak boleh bersebelahan dengan restoran dan juga klinik.

“Sistem perairan mengikut prosedur yang ditetapkan iaitu tidak boleh mengalirkan air keluar ke jalan raya manakala lantai dan dinding dibina daripada jubin,” katanya kepada media selepas operasi membabitkan 38 anggota penguatkuasa MPSJ dan Imigresen.

Cuci 02

Mohd Rasip berkata, MPSJ bertindak mengikut Seksyen 46(1)(a) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133] iaitu menyelenggara tempat cucian kereta di tempat awam manakala tindakan Imigresen berdasarkan Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu atas kesalahan menyalahgunakan pas lawatan kerja.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan Imigresen mendapati semua warga asing itu disalahgunakan pihak tertentu untuk bekerja di tempat itu.

Katanya, MPSJ akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pihak bertanggungjawab dalam perkara itu.

“Pada keseluruhannya kes tempat cucian kereta haram bagi kawasan MPSJ sejak Januari hingga kini meliputi Subang Jaya, Serdang dan Puchong, jumlah kompaun ialah RM398, sitaan 38 buah manakala notis tindakan kompaun (NTK) sebanyak lima sehingga petang ini,” katanya.

Semua 16 warga asing ditahan itu dibawa ke Pusat Tahanan Imigresen untuk pemeriksaan lanjut.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION