SENI

Antara melastik burung dan puisi rakyat SN Usman Awang

Oleh Hazayani Zakaria (Harakah Daily)

Saya tidak berpeluang bertemu atau mengenali susuk tubuh beliau secara dekat walaupun namanya sering disebut-sebut orang.

Namun sejak di sekolah rendah lagi, saya sudah mengetahui tentang beliau lewat biografi dan puisi-puisi beliau.

Selepas diberitahu bahawa Perbadanan Kota Buku akan mengadakan acara Jualan Buku @ But Kereta sempena memperingati karya Sasterawan Negara, Datuk Dr.Usman Awang, saya segera mengosongkan jadual pada tarikh tersebut.

Acara Jualan Buku @ But Kereta memang sudah menjadi acara bulanan Kota Buku namun acara semalam terasa lebih meriah apabila karya-karya Allahyarham Usman Awang atau nama penanya Tongkat Warrant ditampilkan.

Bertempat di Perkarangan Perpustakaan Negara semalam, berlangsunglah acara jualan buku-buku, deklamasi puisi dan bedah buku Usman Awang.

Lebih menyentuh perasaan apabila anak Allahyarham, Haslina Usman sendiri tampil bercerita perihal kesusahan zaman kanak-kanak dan remaja bapanya yang disifatkannya sebagai sumber inspirasi beliau.

Hazayani-Zakaria-RENCANA-SENIBeberapa kali bertemu dengan Haslina, melihat peribadinya yang lemah lembut dan selalu tersenyum, mengingatkan saya kepada pembacaan saya tentang Allahyarham.

Ya, Haslina mewarisi sifat bapanya, barangkali.

Menurut pembacaan saya, Allahyarham Usman Awang disenangi ramai kerana perwatakan dan peribadinya yang lemah lembut dan senang mesra serta simpatinya terhadap orang miskin.

Malah, Usman Awang disifatkan sebagai seniman yang berjiwa rakyat.

“Masa kanak-kanak Allahyarham bapa saya, dia hidup susah. Berjalan kaki ke sekolah beberapa kilometer jauhnya, memijak jalan tar yang panas hingga terpaksa berlari-lari anak,” katanya yang mesra dipanggil Kak Lina.

“Kadang-kadang, bila nak makan, bapa saya lastik burung untuk dibuat lauk.

“Jadi di usia tuanya, dia sangat rasa bersalah pada binatang dan simpatinya pada haiwan sangat tinggi.

“Sebab itu dia selalu letak pisang dan nasi di tepi tingkap, supaya bila burung hinggap, burung boleh makan pisang dan nasi itu,” sambungnya dan berhenti bercakap beberapa saat, menarik nafas panjang menahan sebak.

“Cukuplah kita bercakap tentang itu, tetapi saya nak ucapkan terima kasih kepada pihak yang terlibat menjayakan acara memperingati perjuangan Allahyarham bapa saya ini.

“Semoga kita semua mendapat manfaat daripada karya-karya beliau,” katanya mengakhiri ucapan.

Haslina juga sempat menunjukkan cara menyediakan makanan kegemaran Allahyarham bapanya iaitu nasi durian.

Allahyarham Usman Awang meninggal dunia tanggal 29 November 2001 pada bulan Ramadan akibat penyakit jantung, ketika umurnya 72 tahun.

Allahyarham dilahirkan pada 12 Julai 1929 di Kampung Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor dan mendapat pendidikan awal di Kuala Sedili (1936), Mersing (1937) dan Bandar Maharani Muar (1940) sehingga lulus darjah enam.

Usman yang dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara pada 1983, penerima kedua selepas Sasterawan Keris Mas pernah berkhidmat sebagai anggota polis Inggeris (1946-1951), Pengarang Utusan Zaman dan Mastika (1952-1961) serta pengarang bahagian majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (1962-1985).

Dalam perkembangan kesusasteraan Melayu moden, Allahyarham terkenal dengan tulisan-tulisan dalam pelbagai genre yang memperjuangkan nilai-nilai kemanusiaan, patriotisme dan moral.

Namun, beliau dalam sejarah kepengarangannya lebih dikenali dalam genre puisi yang mengangkat pelbagai persoalan di sekitar masyarakat kelas bawahan Melayu, khususnya para petani, buruh dan tukang.

Allahyarham mula menghasilkan sajak sejak tahun 1948. Kemudian aktif dalam penulisan cerpen, novel dan drama, dan telah menghasilkan lebih 100 buah buku, artikel, jurnal, puisi dan novel.

Sajak pertama beliau yang saya baca ialah Guru Oh Guru selain Makam Bonda, Kekasih, Surat Dari Masyarakat Burung Kepada Datuk Bandar dan Ketam Mengajar Anaknya Berjalan.

“Kak Ina, Hari lahir saya dan Allahyarham bapa kak Ina sama, 12 Julai,” kata saya kepada Haslina sewaktu berbual-bual dengannya selepas beliau menyampaikan ucapan.

“Oh, ya? Mesti sensitif, kuat merajukkan? Ayah memang kuat merajuk, sensitif,” katanya sambil tersenyum.

Saya senyum dan mengangguk, mengiyakan.


Pengarang :