NASIONAL

Anwar berjaya ketepi Tengku Maimon sebagai panel hakim rayuan liwat 2

anwar&wan
Foto Ehsan Keadilandaily

PUTRA JAYA, 17 SEPT: Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Tengku Maimon Tengku Mat hari ini menarik diri dari menganggotai panel tiga hakim perbicaraan kes rayuan liwat 2 yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tindakan itu diputuskan secara sukarela selepas kedudukan beliau sebagai panel hakim kes itu mendapat bantahan daripada barisan peguam Ketua Umum PKR itu.

Pengganti Tengku Maimon akan diputuskan dalam perbicaraan yang akan di sambung esok pagi.

Menurut Ketua Pasukan Peguambela yang mewakili Anwar, Karpal Singh, bantahan tersebut dibuat kerana Tengku Maimon merupakan pesuruhjaya kehakiman yang terlibat dalam prosiding saman fitnah Anwar terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung dakwaan homoseksual pada 2007.

“Permohonan dibuat untuk mengenepikan Tengku Maimon dan permohonan itu berjaya. Dia sendiri yang ketepikan diri sendiri sebagai hakim kes ini,” kata Karpal.

Selain Tengku Maimon, dua lagi panel hakim yang mendengar perbicaraan itu, Datuk Ramli Ali (ketua) dan Mohd Zawawi Salleh.

Terdahulu, pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Anwar tidak bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantu beliau, Saiful Bukhari Azlan.

Pihak pendakwaan tiga hari kemudiannya memfailkan rayuan bagi membatalkan keputusan itu.


Pengarang :