Gergasi Thailand teroka ekonomi Selangor | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

fairuz tahir

Gergasi Thailand teroka ekonomi Selangor

Gergasi Thailand

SUBANG JAYA, 23 SEPT : Kestabilan ekonomi dan kemajuan pesat selain jaringan kemudahan yang baik menjadi faktor Selangor terus diyakini pelabur asing. Dalam perkembangan terbaru, Central Pattana dari Thailand melabur RM500 juta menerusi anak-anak syarikatnya untuk membina pusat membeli-belah CentralPlaza@i-City, di i-City, Shah Alam.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata perkembangan itu amat memberangsangkan kerana sebelum ini Thailand tidak tersenarai sebagai pelabur utama.


“Kita biasa dengan syarikat dari Jepun, Taiwan, Jerman dan British tetapi kali ini ada syarikat dari Thailand nak melabur RM500 juta di Shah Alam. Ia satu jumlah yang besar.

“Syarikat ini difahamkan pernah berbincang dengan Datuk Bandar Shah Alam dan berminat melabur di Shah Alam kerana ia berpotensi besar untuk dibangunkan,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Dialog Belanjawan 2014 di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya.

Gergasi Thailand 2Central Pattana adalah sayap Central Group (CPN) dan merupakan pemaju hartanah runcit yang terbesar di Thailand. Ia memiliki serta mengurus 21 pusat membeli-belah premium di negara itu. Pelaburan di Shah Alam ini merupakan tujahan pertama CPN menembusi pasaran serantau.

“Pelaburan ini merupakan batu loncatan yang penting untuk mencapai wawasan kami, iaitu untuk menjadi pemaju hartanah runcit serantau dan kerjasama ini memperkuatkan lagi komitmen kami untuk mencapai wawasan itu,” tegas Pegawai Eksekutif Kanan Central Pattna, Kobchai Chirathivat, lapor Inside Retail.Asia.

Syarikat tempatan, i-BHD, dilaporkan memeterai perjanjian kerjasama dengan CPN Global Company Ltd untuk membina CentralPlaza i-City itu. Dibawah perjanjian itu, CPN akan merangkumi dua syarikat iaitu CPN Real Estate Sdn Bhd dan CPN Malls Malaysia Sdn Bhd yang secara bersama memegang 60% saham disamping syarikat unit i-BHD, i-City Properties Sdn Bhd.

CentralPlaza@i-City akan mula dibina tahun hadapan dan dijangka dibuka kepada awam menjelang 2016. Pusat membeli-belah seluas 1.5 juta kaki persegi ini dijangka menelan kos RM580 juta.

“Kita berbesar hati untuk menjana ekonomi melalui perjanjian ini, lebih-lebih lagi ini merupakan hasil pertama pelaburan asing secara langsung untuk negara ini selepas Pilihan Raya Umum 5 Mei lepas,” kata pengasas i-Bhd, Tan Sri Lim Kim Hong, lapor The Star.

Sebelum ini, Abdul Khalid melahirkan keyakinan pelaburan itu akan menjadikan Shah Alam syurga beli-belah di rantau Asia Tenggara. Menurut beliau, pelaburan Central Pattana ini dicapai di sesi retreat EXCO Kerajaan Negeri selama tiga hari di Bangkok baru-baru ini.

Abdul Khalid menjelaskan, Kerajaan Negeri memilih Bangkok sebagai lokasi retreat untuk memperoleh maklumat lanjut mengenai Central Pattana, selain dari tugas merangka Pelan Tindakan Lima Tahun bagi Belanjawan Negeri 2014.

“Ini menunjukkan mereka percaya kepada negeri Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat yang sentiasa mengamalkan pelaburan terbuka kepada semua pelabur-pelabur di peringkat Asean dan dunia,” katanya, ketika berucap pada Majlis Jamuan Pimpinan Bersama Rakyat Sabah dan Sarawak Sempenan Sambutan Hari Malaysia ke-50 Peringkat Negeri Selangor di Foyer Bangunan SUK, Shah Alam, 21 September lepas.

Turut hadir di sambutan itu adalah Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen Selangor dan ADUN Ba’kelalan, Baru Bian. Sekurang-kurangnya 300 warga Sabah dan Sarawak dari kalangan pelajar dan keluarga yang menetap di Selangor turut menghadiri majlis tersebut.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION