NASIONAL

Minyak naik, rumah jadi mahal tapi subsidi kroni tak dipotong

rafizi-pc-white-stripes-03

SHAH ALAM 6 SEPT: Kenaikan harga rumah yang heboh di kalangan rakyat, adalah rentetan kesempitan rakyat yang bertambah selepas kenaikan harga minyak, kata Rafizi Ramli.

Ahli Parlimen Pandan itu, berkata pasti pembekal bahan binaan dan pemaju terpaksa mengambil langkah menaikkan harga rumah, selain faktor pertambahan kos tenaga buruh.

Beliau juga percaya ada syarikat yang menaikkan harga demi kelangsungan perniagaan ataupun ‘tumpang sekaki’ mengambil kesempatan.

The Star yang memetik Presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Datuk Seri Michael Yam Kong Choy, melaporkan peningkatan harga minyak dijangka turut menyumbang kepada peningkatan harga rumah sehingga 10 peratus.

Bagi mengelak masalah itu, Rafizi berkata, kerajaan perlu memotong subsidi kepada syarikat kroni sebelum meletakkan beban kewangan itu kepada rakyat.

“Potong subsidi korporat, kurangkan bayaran dan juga kurangkan insentif yang dibayar kepada syarikat besar, kebanyakan mereka ini kroni.

“Kecualilah kalau semua perkara ini sudah dibuat dan tidak ada pilihan, maka barulah kita boleh bercakap tentang harga minyak.

“Kalau tidak naikkan harga minyak tanpa kira berapa banyak wang dihabiskan untuk subsidi korporat, kesannya seperti yang berlaku sekarang (kenaikan harga),” katanya kepada TV Selangor.

Beliau berkata, kesukaran memiliki rumah menghantui golongan muda, aoatah lagi mereka dikejar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Betapa terpisahnya menteri dari realiti apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malik kata hanya 0.1 peratus sahaja harga barang akan naik.

“Tidak betul. Yang betul memahami keadaan adalah rakyat. Setiap kali harga minyak naik, rakyat merasai bebannya dengan semua harga barangan lain,” katanya.


Pengarang :