NASIONAL SELANGOR

Ilmu, Usahawan, Kediaman, Tiga Tujahan Utama Belanjawan Selangor 2014

MB belanjawan

SUBANG JAYA 24 SEPT : Tiga perkara utama iaitu pendidikan, pembangunan usahawan dan perumahan mampu milik akan diberi perhatian dalam Belanjawan Selangor 2014 yang akan dibentangkan pada bulan November depan.

“Selepas mengadakan perbincangan dengan pemimpin masyarakat dalam Dialog Belanjawan 2014 dua hari ini, kita dapat menilai sejauh mana mereka memikirkan mengenai manifesto yang kita janji.

“Jadi selepas ini, kita akan mengadakan perbincangan dengan semua Exco tentang bagaimana ia dapat dilaksanakannya dengan menekankan kepada tiga perkara itu,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim  dalam sidang media selepas Majlis Dialog Belanjawan 2014, di Hotel Grand Dorsett, di sini.

Tujahan perumahan itu termasuk pembinaan sekurang-kurangnya 20,000 unit rumah mampu milik melalui penglibatan daripada Lembaga Perumahan dan Hartanah (LPHS), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan pemaju.

Program rumah mampu milik ini juga akan diperhebatkan dan dipercepatkan pembinaannya, disamping memberi keutamaan kepada pemohon yang berumur 40 tahun ke bawah, serta keluarga yang belum berpeluang mempunyai kediaman sendiri.

Manakala tujahan pembangunan usahawan pula bakal menyaksikan penumpuan khusus mendorong golongan miskin menceburi bidang keusahawan kecil dan sederhana.

“Kali ini kita akan bergerak dari pembangunan usahawan yang tertumpu kepada masyarakat miskin kepada pembangunan usahawan kecil dan sederhana, ia kerana kita rasa Selangor bergerak maju kerana adanya pengusahawanan yang dinamik,” katanya.

Bagi pendidikan pula, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri mahu menggemblengkan program mempertingkatkan mutu pendidikan di Selangor, termasuk bidang kemahiran.

“Dalam masa yang sama, kita juga mahu memberdayakan kaum wanita yang mana kita rasa ekonomi negeri akan bertambah rancak jika kaum wanita memperhebatkan penglibatan mereka dalam pembangunan negeri,” katanya.


Pengarang :