NASIONAL

Isteri pendemo kudeta Perak terpaksa jual rumah untuk sara keluarga

13 PESERTA DIPENJARAKAN

SHAH ALAM, 14 SEPT: Isteri perserta demontrasi protes rampasan kuasa Perak 2009, Nashita Md Noor,47, mengambil keputusan menjual rumah yang didiami demi meneruskan kelangsungan hidupnya sekeluarga.

Langkah itu terpaksa diambil sekiranya suami beliau, Bad Latif Mansor, 47, gagal dalam proses rayuan yang bakal difailkan di Mahkamah Tinggi Taiping Selasa ini.

Menurut Nashita, perkara ini sempat dibisikkan kepada suaminya itu sebaik sahaja Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM5,000 kepada 13 tertuduh semalam.

“Keempat-empat anak kami masih bersekolah termasuk seorang yang sedang belajar di Jordan.

“Tanggungan yang perlu dipikul memang agak besar, maklumlah akak suri rumah sepenuh masa, tiada pendapatan sebab itulah terpaksa jual rumah yang kami duduk sekarang tetapi nasib baik yang belajar di Jordan itu tajaan Lembaga Zakat Selangor.

“Perkara ini akak sempat bisikkan kepada abang (suami) sebelum dia dibawa ke Penjara Tapah semalam, dia setuju,” kata Nashita ketika dihubungi TV Selangor hari ini.

Menurut Nashita lagi, beliau dibenarkan untuk bertemu Bad Latif di Penjara Tapah pagi tadi.

Dalam pertemuan itu Nashita memberitahu, Bad Latif memaklumkan keadaan kesihatan salah seorang perserta demontrasi yang dipenjarakan, Isha Redzuan, 59, tidak berapa baik disebabkan penyakit kanser tirod yang dihidapinya.

“Abang sihat, begitu juga yang lain kecuali Isha yang perlu ambil ubat setiap hari, malah abang bersemangat dan berharap masyarakat di luar tidak luntur semangat, teruskan perjuangan, .

“Dia anggap pemenjaraan dia dan 12 lagi itu sebagai pengorbanan agar obor semangat yang lain tidak terpadam, maklumlah selepas pilihan raya ni masing-masing nampak macam perlahan sikit,” ujar Nashita lagi.


Pengarang :