SELANGOR

Kenaikan RON 95 jadi punca rantaian harga barang lain naik – Fomca

minyak-naik

SHAH ALAM, 3 SEPTEMBER – Tindakan kerajaan BN menaikkan harga minyak bakal menghimpit kehidupan rakyat lantaran ia memberi kesan kepada rantaian kenaikan harga barangan keperluan harian.

Pengarah Komunikasi Kumpulan Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata situasi sama berlaku pada 2010 apabila kerajaan menaikkan harga minyak.

“Sebelum ini pun apabila berlaku apa sahaja kenaikan harga, memang memberi kesan kepada rantaian kenaikan harga barang.

“Setiap orang tidak boleh lari dari menerima kesan kenaikan harga barangan. Ini setiap golongan akan merasai,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Sekalipun pernah berjanji tiada kenaikan petrol selepas PRU 13, kerajaan BN menaikkan harga  RON95 dan diesel sebanyak 20 sen menjadikan harganya mencecah RM2.10 dan RM2.00 seliter mulai hari ini.

Mohd Yusof berkata, golongan berpendapatan rendah mengalami kesan lebih buruk berikutan mereka berdepan peningkatan kos sara hidup dengan ketara.

“Kenaikan ini bermakna pendapatan boleh guna rakyat semakin berkurang. Pastinya menyebabkan kos sara hidup yang tinggi,” katanya.

Bagi mengekang kenaikan harga barangan lain, beliau berkata, kerajaan perlu memastikan tiada monopoli pihak tertentu untuk menaikkan harga barangan lain sewenang-wenangnya.

– FZL


Pengarang :