NASIONAL SELANGOR

KSSB tanam pokok Akasia untuk pulihkan lombong terbiar

KKSB bekas lombong

KUALA LANGAT 29 SEPT: Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) memulakan penanaman 1,500 anak pokok jenis Akasia di bekas lombong bagi memulihkan Lombong Olak Lempit di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif KSSB, Datuk Dr Azimuddin Bahari berkata program rehabilitasi di tapak lombong itu dijalankan secara berperingkat bagi kegunaan masa depan.

Katanya, pemilihan bekas lombong Olak Lempit sebagai tapak awal untuk menjayakan program itu kerana ia antara lombong terawal¬†“Ia dipilih kerana kedudukannya bersebelahan Paya Indah Wetlands. Kawasan itu perlu dipelihara memandangkan kesan lombong terbiar memberi impak kepada kawasan sekitar.

“Lombong tinggalan biasanya dipenuhi air atau ‘water retention pond’ yang boleh menangani bencana banjir di kawasan sekitar.

“Bagi memastikan ia terpelihara dan boleh dikomersial, pemuliharaan perlu dijaga dengan baik dan teratur,” katanya kepada pemberita ketika ditemui.

Selain menanam pokok, Azimuddin turut melepaskan 200 anak ikan Puyu di kolam Paya Indah Wetlands supaya menjadi tempat pembiakan anak ikan bagi menambah nilai komersial.

Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Amirul Aripin hadir sama.

Azimuddin berkata pihaknya mensasarkan sebanyak 5,000 anak pokok yang akan ditanam di kawasan lombong yang berkeluasan 48.56 hektar itu.

“KSSB bukan sekadar jalankan operasi perlombongan pasir dan kaut keuntungan semata-mata tetapi juga menitik berat proses perlombongan mengikut prosedur ditetapkan,” katanya.

KSSB adalah antara anak syarikat kerajaan negeri.


Pengarang :