NASIONAL SELANGOR

MB, 1500 Warga Klang raikan Pesta Tanglung

Pesta Tanglung 01

KLANG, 15 SEPT: Meskipun zaman berubah, namun bagi masyarakat Tiong Hua, bulan purnama yang menyinari Perayaan Pertengahan Musim Luruh tetap membawa makna kebersamaan, kekeluargaan dan kesatuan.

Diraikan di penghujung musim menuai, perayaan ini meraikan keluarga yang berpisah dan bertemu kembali. Perayaan ini turut memperingati penat-lelah golongan petani, yang berhempas-pulas sepanjang tahun dan mengambil peluang ini untuk bersama berkongsi hasil yang diraih.

Indahnya nilai-nilai itu mendorong Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersama-sama 1,500 warga Klang turun meraikan perayaan itu di Bandar Bukit Tinggi, Klang, meskipun gerimis sekali-sekala turun sepanjang malam.

Jamuan dimeriahi kehadiran warga Klang dari warga emas hingga ke anak kecil, serta pimpinan setempat, termasuk Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, Ahli Majlis Pimpinan Pusat Datin Paduka Dr Tan Yee Kew dan Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Bukit Tinggi, Gan Ee Chai.

Pesta Tanglung 01 (2)

Selepas memberi ucapan santai, Abdul Khalid yang juga Adun Pelabuhan Klang bersama penduduk diraikan dengan tarian singa dan naga. Letupan mercun pelbagai jenis melimpahi majlis dengan pelbagai warna dan bunyi.

Meskipun tanglung istimewa tidak dapat dilepaskan ke udara kerana hujan tidak mengizinkan, orang-ramai masing-masing membawa tanglung-tanglung kecil yang digantung pada hujung kayu pendek. Tanglung turut digantung di mana ruang membenarkan. Sememangnya perayaan ini tidak boleh dipisahkan dengan tanglung yang membawa pelbagai makna tersendiri mengikut kepercayaan masing-masing dan sejarah setempat.

Suatu masa dahulu di Pingxi, orang-orang kampung melepaskan tanglung ke udara membawa berita gembira kepada kampung jiran-jiran bahawa mereka terselamat dari serangan penyangak.

Di perayaan ini, Khalid bersama-sama hadirin membawa tanglung dan berarak sekitar Bandar Bukit Tinggi untuk bertemu dan beramah-mesra dengan warga Klang. Barangkali beliau juga membawa berita gembira kepada rakyat Selangor bahawa kita satu keluarga yang besar, dan kebajikan mereka terpelihara dibawah Kerajaan Negeri pimpinannya.

Pesta Tanglung 01 (1)


Pengarang :