SELANGOR

MB: Faekah kekal setiausaha

faekahBANDAR SERI PUTRA 9 SEPT : Faekah Hussin kekal sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor sehingga proses penyusunan semula Pejabat Menteri Besar selesai, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan proses penyusunan semula ini adalah menyeluruh dan turut melibatkan pengkhususan bidang, yang menurut beliau perlu supaya gerak-kerja dan penyampaian Pejabat MB menjadi licin, lancar dan berkesan.

“Dengan ini dia (Faekah) akan kekal di Pejabat Menteri Besar tetapi kita nak aturkan semua tugas-tugas supaya ia tidak bertindih,” katanya dalam satu sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Pembangunan Mualaf di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), semalam.

Penyusunan ini antara lain melibatkan perlaksanaan dan penyampaian program-program dibawah Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), pembangunan rumah mampu milik (RMM), pemberian bantuan kepada masyarakat miskin dan pembangunan luar bandar.

Sebelum ini, Pejabat Menteri Besar menyaksikan perlantikan Datuk Saifuddin Nasution sebagai Pegawai Perhubungan Politik, Mustapa Mohd Talib yang dipertanggungjawabkan kepada tugas-tugas khas, dan Azman Bidin yang ditugaskan untuk menyelia Parlimen Bandar Tun Razak dan Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang.

“Semua kita akan lihat dan penyusunan ini akan berterusan. Kita akan bagi pegawai tertentu untuk jalankan tugas ini,” jelas Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian ketika ada ura-ura Faekah akan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Faekah meninggalkan kerjayanya yang sangat lumayan di bidang guaman selepas dipanggil berkhidmat untuk Kerajaan Negeri Selangor oleh Abdul Khalid sejak 2010.

Beliau disebut sebagai di antara individu penting dalam rundingan air antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri, termasuk pengambilalihan industri air dari konsesi swasta.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata sebarang perubahan, hanya akan diumumkan secara rasmi selepas proses penyusunan semula selesai.

“Seperti biasa ada baiknya kita tidak mengumumkan perkara yang dibuat tetapi membuatnya selepas itu dengan hasilnya. Jika tidak kita asyik bertanya bila nak buat jadi kita tidak fokus,” jelas beliau.


Pengarang :