MB : Solidariti kemanusiaan merentasi perbezaan | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Lizawati Madfa

MB : Solidariti kemanusiaan merentasi perbezaan

solidariti kemanusiaan

SHAH ALAM 7 SEPTEMBER : Perbezaan bangsa dan budaya, kelainan pendapat dan fahaman politik tidak sewajarnya dijadikan penghalang untuk bersatu menentang kezaliman dan penindasan, tegas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, semua pihak perlu mengenepikan perbezaan dan turut sama membincangkan jalan penyelesaian kepada masalah umat khususnya tragedi pembunuhan rakyat di Mesir, Syria dan Palestin.


“Solidariti adalah penjelmaan rasa prihatin dan sikap tidak mementingkan diri, yang menjamin wujudnya kesejahteraan bersama,” tegas Abdul Khalid, dalam ucapan beliau yang menekankan dasar mempertahan dan mengembalikan hak dan kemuliaan sebagai manusia.

“Hal yang berlaku di Syria, Mesir, Palestin dan Burma menunjukkan manusia semakin hilang kemanusiaannya. Nyawa manusia tidak bernilai lagi. Orang awam, lelaki, wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa peluru, gas beracun dan senjata kimia,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Himpunan Solidariti Kemanusiaan yang dianjurkan bersama Kerajaan Negeri di Stadium Malawati, Shah Alam malam tadi.

Turut hadir, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, kepimpinan NGO Islam Malaysia seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) serta lebih 5,000 hadirin.

“Meskipun kita tidak berupaya berada di barisan hadapan bagi mempertahankan nasib golongan yang tertindas, namun sekurang-kurangnya kita menunjukkan solidariti sebagai tanda simpati kita terhadap nasib mereka yang ditimpa musibah dan bencana,” ujar Abdul Khalid.

Program ini dimulakan dengan solat maghrib berjemaah dan kuliah perdana oleh Ustaz Jel Fathullah Al-Anshori yang dibawa khas dari Indonesia.

Seterusnya, program diteruskan dengan solat hajat dan Qunut Nazilah serta tayangan video ‘Mesir Menangis & Flash Mob ‘Air Mata Syria’. Manakala kemuncak program adalah perlancaran Kempen ‘Malaysia 4 R4bia’.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION