NASIONAL SELANGOR

MBSA sasar 100 orang polis bantuan tahun depan

MBSA sasar tubuh 100 orang Polis Bantuan

SHAH ALAM 8 SEPT : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mendapatkan kelulusan Kerajaan Negeri bagi penubuhan Polis Bantuan dengan seramai 100 orang anggota bagi mempertingkatkan tahap keselamatan bandar raya itu menjelang 2014.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, berkata daripada sejumlah itu seramai 30 orang akan ditempatkan menjaga trafik, 30 orang bagi menjaga aset-aset MBSA dan 40 orang akan membuat rondaan keselamatan bersama pihak Polis.

“Penubuhan Polis Bantuan ini kita akan masukkan dalam Belanjawan MBSA untuk 2014 ini agar Shah Alam menjadi bandaraya yang lebih selamat dan selesa.

“Dengan harapan bahawa ini ia dapat mempertingkatkan tahap keselamatan dan kelesaan warganya,” kata Mohd Jaafar semasa Program Zon Bersih MBSA di Dewan Bola Tampar MBSA Seksyen 4 di sini.

Dalam majlis itu, perjanjian persefahaman (MOU) turut ditandatangani antara Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mokhtar Hani mewakili MBSA dan Pengarah Urusan Close Loop, Muhammad Iqbal Baharum untuk memperkasa aktiviti kitar semula di kalangan warga kota Shah Alam.

Kerjasama ini menumpukan usaha bersepadu mendidik masyarakat agar menjadikan kitar semula sebagai amalan seharian.

Menurut Mohd Jaafar, prorgam dikenali “Recycle & Reward” berkehendakan penduduk mengasingkan sampah yang boleh dikitar semula yang akan dikutip pihak Close Loop dari rumah ke rumah menggunakan guni khas.

“Semua pungutan akan direkodkan melalui sistem data yang dibangunkan pihak Close Loop dan hasil pungutan penduduk akan diberikan mata ganjaran yang boleh ditebus dengan kupon dan baucar untuk membeli belah,” kata beliau.

Program itu dirasmikan Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim yang turut dihadiri Adun Kota Anggerik Dr Yaakob Sapari.

Kira-kira 1,000 orang yang terdiri daripada warga MBSA menyertai aktiviti gotong royong bagi memperindahkan kawasan Seksyen 4.


Pengarang :