Selangorkini
NASIONAL

Menteri juga hantar anak ke luar negara

tian chua pc pkr 01SHAH ALAM, 11 SEPT :  Menteri Kerajaan Pusat yang menghantar anak-anak mereka belajar di luar negara menunjukkan krisis keyakinan yang serius terhadap pelan pendidikan Malaysia.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh yang berkata, pihak yang tidak bersetuju dengan pelan pendidikan negara boleh menghantar anak-anak mereka ke luar negara

“Itu sebab mereka tidak peduli tentang pembangunan pendidikan negara, sebab mereka lebih utamakan masa depan anak-anak mereka sendiri dengan pendidikan luar negeri,” tegas beliau.

Baru-baru ini Idris berkata, tiada bantahan dan kritikan yang boleh menghentikan rancangan Putrajaya meneruskan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM).

Pelan berkenaan menerima reaksi negatif daripada pertubuhan persatuan Cina seperti Dong Zhong dan juga parti politik Pakatan Rakyat (PR).

“Menteri Pendidikan sepatutnya mengadakan pusingan kedua perundingan dengan pihak awam secara intensif untuk mendapatkan pandangan daripada kumpulan berkepentingan yang berbeza untuk diterapkan dalam dokumen akhir pelan pendidikan seperti yang dijanjikan,” jelas ahli akademik, Ong Kian Ming dalam satu kenyataan media.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Serdang, menjelaskan banyak pihak yang prihatin telah meminta Kementerian supaya tidak tergesa-gesa melaksanakan PPPM, tetapi memberi lebih banyak masa untuk mengkaji rancangan itu.

Menurut Ong, pengkritik, antaranya seperti yang disebut dalam memo dalaman Panel Penilai Bebas Malaysia yang diketuai Naib Canselor Albukhary International Universiti, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, berpendapat perubahan yang dinyatakan dalam PPPM bersifat ‘incremental’ dan bukan pembaharuan kritikal yang perlu untuk memulihkan sistem pendidikan negara.

Menurutnya lagi, cadangan seperti pembinaan sekolah-sekolah aliran seperti Sekolah Agama Rakyat (SAR) mengikut keperluan dan permintaan ibu bapa diabaikan dalam PPPM.

Antara yang diabaikan juga adalah penyelarasan sekolah-sekolah teknikal, vokasional dan kemahiran antara kementerian-kementerian, dan meluaskan peranan Kerajaan Negeri dan daerah.


Pengarang :