Nampak pegawai SPR kira undi dalam lokap sebelum PRU 13 | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Admin Selangorkini

Nampak pegawai SPR kira undi dalam lokap sebelum PRU 13

tribunalSUBANG JAYA 18 SEPT:  Ada pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membuat kiraan undi awal sebelum berlangsungnya pilihan raya umum ke-13, kata saksi ketiga Tribunal Rakyat PRU-13.

Abu Hussin Tamby, wakil calon Dun Air Limau, Melaka berkata, ia berlaku 2 Mei lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah kira-kira jam 3.15 petang.

Semasa kejadian, saksi bersama dua wakil calon lain diiringi dua anggota polis ke IPD berkenaan untuk menyerahkan kotak peti undi awal dari Lubuk Cina.


Semasa masuk ke balai itu, katanya, beliau dengan jelas menyaksikan kira-kira tujuh anggota SPR mengelilingi longgokan kertas undi di satu sel lokap.

“IPD itu memang menjadi tempat simpanan peti undi. Semua kotak undi dikumpulkan dalam lokap.

“Semasa tiba di lokap, saya lihat tujuh atau lapan orang memakai baju SPR mengelilingi timbunan kertas undi itu, menunjukkan mereka sedang buat kiraan.

“Hanya nampak kertas undi tetapi kotak peti tiada. Saya percaya ia dari Parlimen Alor Gajah dan Masjid Tanah,” katanya yang kemudian membuat laporan polis di IPD Masjid Tanah.

Beliau ada memohon kepada polis untuk menonton semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada hari kejadian tetapi ditolak tanpa sebarang alasan.

“Polis tidak boleh beri jawapan tepat. Mereka cuma kata segala keputusan terhadap salah laku itu diserahkan kepada atasan,” katanya.

Tribunal antara 18 hingga 22 September di Hotel Empire di sini ditubuhkan berikutan desakan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan penipuan PRU 13.

Ia mengkaji, menyiasat dan menilai rungutan mengenai insiden menjelang PRU 13 atau di sekitar pilihan raya termasuk proses pengundian.

Lima individu ternama yang berkelayakan dipilih untuk menyertai tribunal termasuk dua daripadanya dari luar negara.

Mereka ialah bekas wakil khas Setiausaha Agung PBB di Kemboja, Yash Pal Ghai dan bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia, Prof Ramlan Surbakti.

Wakil Malaysia ialah Peguam bela dan Peguam cara Mahkamah Tinggi, Datuk Azzat Kamaludin; bekas Profesor Madya Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Mavis Puthucheary dan Setiausaha Agung Majlis Gereja-gereja Malaysia, Rev Dr Hermen Shastri.

– FZL

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION