SELANGOR

Pelaburan RM52.6j tingkat ekonomi, cipta peluang di desa

BioMax RubberSHAH ALAM 9 SEPT : Pembukaan cawangan kedua kilang pembuatan sarung tangan di Kuala Selangor diyakini akan meningkatkan ekonomi negeri disamping mencipta peluang pekerjaan baru khususnya kepada masyarakat luar bandar.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Ean Yong Hian Wah berkata Kerajaan Negeri mengalu-alukan usaha Biomax Rubber Industries Sdn Bhd melabur sebanyak RM52.6 juta bagi menubuhkan kilang keduanya.

“Kerajaan Negeri menggalakkan pelaburan berkembang di negeri ini, kita mahu Selangor membangun dan bertambah maju selain dapat meningkatkan taraf masyarakat.

“Ini bersesuaian dengan perancangan Kerajaan Negeri untuk membangunkan pembangunan luar bandar,” katanya melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS).

Semalam, Presidennya, Chong Wee Chong memaklumkan cawangan baru itu akan dibina di atas 3.24 hektar akhir tahun ini dan dijangka siap pada awal 2015.

Agensi berita Bernama melaporkan cawangan baru ini nanti mempunyai dua talian pengeluaran dengan kapasiti menghasilkan satu bilion sarung tangan perubatan/pemeriksaan (ME) setiap tahun.

Biomax ditubuhkan pada tahun 2010, dan mengeksport produk ke 20 negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Vietnam, Eropah, Timur Tengah, India dan Australia.

Cawangan pertama Biomax terletak di Sungai Buloh.

Ean Yong berkata pelaburan Biomax memberikan impak positif dan membantu menguatkan kedudukan Selangor sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan domestik dan luar negara.

Dalam Sidang Dewan Negeri Julai lalu, Kerajaan Negeri mensasarkan sebanyak RM8 bilion jumlah pelaburan bagi sektor perkilangan bagi tahun 2013.

Ean berkata sebanyak 1,420 projek perkilangan diluluskan dengan pelaburan sebanyak RM49.7 bilion dan 125,067 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan bagi tempoh 2008-2012.


Pengarang :