SELANGOR

Pelajar Mesir ditawar sambung belajar di KUIS

halimah ali pelajar mesirBANGI, 10 SEPT : Pelajar-pelajar Selangor yang telah melanjutkan pengajian di Mesir boleh menyambung pengajian mereka dalam bidang yang sama di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Dr Halimah Ali berkata cadangan itu adalah bagi memastikan pelajar-pelajar Selangor di bawah tajaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang terkesan dengan krisis Mesir dapat melangsungkan pengajian mereka dengan selamat di negara ini.

“Sekurang-kurangnya 1,200 pelajar Selangor tajaan LZS belajar (bidang agama) di Mesir. Kita khuatir risiko keselamatan mereka selain persekitaran yang tidak sesuai untuk mereka meneruskan pengajian mereka, jadi kita tawarkan mereka menyambung pelajaran mereka dalam bidang yang sama di KUIS,”ujarnya.

Sementara itu, Dr Halimah berkata 79 pelajar tajaan LZS yang sepatutnya melangsungkan pengajian mereka di Mesir diserapkan terus ke KUIS.

Sementara itu, Rektor KUIS, Prof Madya Datuk Dr Abd Halim Tamuri berkata bagi memenuhi keperluan itu, pihaknya sedang berusaha membawa tenaga pengajar bertauliah dari negara Mesir dan Syria.

“Kemasukan pelajar ini akan diselaraskan kembali mengikut pemindahan jam kredit, ia juga bergantung kepada transkrip mereka disana.

“Pihak kami akan berikan yang terbaik untuk mereka termasuk menyediakan tenaga pengajar bertauliah dari Mesir dan Syria,”ujarnya.

Mesir bergolak selepas Presiden Mohamed Morsi yang dipilih secara demokratik tahun lalu, digulingkan tentera pada 3 Julai lalu.


Pengarang :