NASIONAL

Pemimpin BN dibidas kerana tuduh boros punca rakyat miskin

mahfuzKUALA LUMPUR 30 SEPT: Ahli Parlimen Pokok Sena (PAS), Datuk Mahfuz Omar menyanggah pandangan seorang Ahli Parlimen BN kononnya kesempitan hidup rakyat golongan berpendapatan rendah berpunca dari sikap boros.

Menempelak pemimpin Umno BN itu, Datuk Wan Muhammad Khairil  Anuar Wan Ahmad, beliau berkata, kira-kira 490,000 rakyat negara ini berpendapatan kurang RM1,000 sebulan.

“Daripada jumlah itu, sekitar 300,000 tinggal di kampung,” katanya sambil membidas pandangan Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu.

Beliau kesal kerana Wan Muhammad Khairil itu tergamak menuduh rakyat berpendapatan rendah dan sederhana hidup susah bukan akibat kenaikan
harga minyak dan barangan keperluan, sebaliknya amalan boros

Pada sesi Dewan Rakyat hari ini, Mahfuz juga menempelak Datuk Ahmad Maslan yang mendakwa golongan berpendapatan kurang RM3,000 memperuntuk RM132 untuk petrol selama sebulan.

Ahli Parlimen Pontian dari BN itu juga menyatakan kononnya golongan berpendapatan lebih RM5,000 pula memperuntuk RM375 sebulan untuk tujuan sama.

“Kalau RM132 sebulan maknanya sehari RM4.40. Kalau kereta, sejauh mana boleh pergi? Masuk gear, enjin dah mati. Motosikal mungkin boleh jauh sikit tetapi akhirnya kena tolak sebab habis minyak,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md Ramli mempersoal sama ada harga minyak ditentukan berdasarkan pasaran dunia atau ketetapan kerajaan.

Ini kerana, katanya, harga minyak pasaran dunia menunjukkan trend menurun dan ia sama sekali berbeza dengan keputusan kerajaan yang menaikkan harga.


Pengarang :